SUKAN > BERITA

Jurulatih Vietnam Sukar Analisis Harimau Malaya Sebelum Perlawanan

09/06/2025 03:21 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Ketua jurulatih Vietnam Kim Sang Sik berdepan kesukaran untuk menganalisis skuad Harimau Malaya, menjelang perlawanan kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Jurulatih berasal dari Korea Selatan itu berkata perkara tersebut, berpunca daripada komposisi skuad Malaysia di bawah kendalian Peter Cklamovski, sekali gus menjadikan pertembungan esok satu cabaran buat Vietnam.

“Saya rasa ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Apa yang saya tahu, Malaysia mempunyai 18 pemain dalam skuad dan terdapat lima muka baharu bagi perlawanan menentang Vietnam.

“Memang benar kami menghadapi kesukaran untuk menilai pemain-pemain mereka, tidak banyak maklumat yang ada buat masa ini tetapi kami sedang membuat persediaan dengan baik. Kami akan pastikan pasukan bersedia dan memberi persembahan terbaik esok,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.

Jurulatih berusia 48 tahun itu merujuk kepada penyertaan lima pemain warisan baharu dalam skuad Harimau Malaya, iaitu penyerang Rodrigo Holgado, Imanol Machuca dan Joao Figueiredo, serta pertahanan Jon Irazabal dan Facundo Garces.

Kehadiran mereka melengkapkan senarai tujuh pemain warisan yang menyertai skuad kebangsaan tahun ini, selepas kemasukan awal pemain tengah Hector Hevel dan pertahanan Gabriel Palmero.

Sementara itu, ketua pasukan Golden Star Warrior Do Duy Manh, turut mengakui bahawa kehadiran ramai pemain warisan dalam skuad Malaysia, akan menjadikan perlawanan esok satu cabaran besar, meskipun pasukannya memiliki rekod pertemuan yang memihak kepada mereka.

“Terdapat ramai pemain asing. Mereka pemain yang sangat bagus. Perlawanan esok tidak akan mudah buat kami, tetapi kami ada matlamat dan azam kami sendiri. Perlawanan ini tidak akan sama seperti tahun 2018. Malaysia kini ada jurulatih dan pasukan yang baharu,” kata pemain yang pernah menentang Malaysia pada tahun 2018 itu.

Vietnam dan Malaysia kini berkongsi kedudukan teratas dalam Kumpulan F dengan tiga mata, selepas masing-masing mencatat kemenangan dalam perlawanan pembukaan.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menewaskan Vietnam adalah pada separuh akhir Piala AFF 2014 di Hanoi dengan keputusan 4-2.

Sejak itu, Malaysia telah tewas tujuh kali dan seri sekali kepada Vietnam dalam semua pertandingan.

“Ini mungkin perlawanan paling penting, mungkin juga yang paling sukar dalam usaha mara ke Piala Asia 2027. Kami akan lakukan yang terbaik untuk menang esok. Jika pasukan Vietnam dapat bermain seperti biasa, sebagai satu unit dan dengan taktikal serangan yang baik, kami mampu meraih mata,” kata Sang Sik.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan