KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa daripada jadual padatnya untuk menyaksikan aksi perlawanan persahabatan pasca musim antara kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United dan ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Kehadiran Anwar menyerikan suasana pertandingan yang dikenali sebagai Piala Cabaran Maybank yang menarik lebih 72,500 penyokong dari dalam dan luar negara.
Anwar, penyokong setia The Red Devils, hadir dengan mengenakan jersi ASEAN All-Stars serta jaket Manchester United sebagai tanda sokongan kepada kelab kegemarannya dan bola sepak serantau.
Beliau turut diiringi Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan sempat bersalaman serta menyapa barisan kesebelasan utama kedua-dua pasukan sebelum sepak mula – menambah kemeriahan serta signifikan majlis berkenaan.
Pada majlis itu, Anwar turut menerima replika cek bernilai RM1 juta daripada Presiden Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), Mejar Jeneral Khiev Sameth, untuk disumbangkan kepada Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA).
Anwar kemudian menyaksikan perlawanan yang menampilkan bintang-bintang Red Devils seperti Andre Onana, Harry Maguire, Rasmus Hojlund, Carlos Casemiro, Diogo Dalot dan Bruno Fernandes mempamerkan aksi bertenaga di bawah bimbingan Ruben Amorim.
Pasukan ASEAN All-Stars, yang dibarisi pemain dari negara anggota AFF termasuk Australia, dikendalikan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Sang-sik, yang baru-baru ini membawa Vietnam muncul juara Kejohanan ASEAN – manakala penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Sergio Aguero, bertindak sebagai ketua pasukan.
Kejutan berlaku apabila ASEAN All-Stars menundukkan Manchester United 1-0 hasil jaringan Maung Maung Lwin dari Myanmar pada minit ke-72, sekali gus menambah derita kelab itu selepas musim mengecewakan di EPL.
Sebaik perlawanan tamat, Anwar menyampaikan pingat dan trofi kepada pemain.
Pertemuan malam ini juga menandakan kemunculan semula Manchester United ke Malaysia sejak kali terakhir pada jelajah pramusim 2009, apabila mereka menewaskan Malaysia XI 3-2 dan 2-0 masing-masing pada 18 dan 20 Julai di venue sama.
Manchester United, yang menamatkan saingan EPL di tangga ke-15 dengan hanya 42 mata, akan meneruskan siri jelajah pasca musim mereka ke Hong Kong, Jumaat ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial