SUKAN > BERITA

Amorim: Aksi Menentang ASEAN All-Stars Bukan Sekadar Perlawanan Persahabatan

27/05/2025 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Ketua jurulatih Manchester United Ruben Amorim menegaskan skuad The Red Devils mengambil serius aksi menentang ASEAN All-Stars dalam saingan Piala Cabaran Maybank di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Pengendali dari Portugal berusia 40 tahun itu yang baharu mengambil alih tugas di Old Trafford musim ini berkata setiap perlawanan melibatkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dianggap penting tanpa mengira status perlawanan atau lawan yang dihadapi.

“Kami masih banyak yang perlu diperbaiki. Jadi, setiap perlawanan akan dimanfaatkan untuk memperkukuh pasukan. Hampir keseluruhan skuad berada di sini kecuali Mazraoui (Noussair Mazraoui) mengalami kecederaan Ahad lalu.

“Kami juga membawa beberapa pemain muda untuk mereka faham erti sebenar menyarung jersi Manchester United. Jadi, perlawanan ini amat penting buat kami,” katanya pada sidang media praperlawanan di hotel penginapan pasukan itu di sini hari ini.

Dalam masa sama, Amorim turut melahirkan penghargaan atas sambutan hangat yang diterima pasukan sebaik tiba di Malaysia serta sokongan padu penyokong walaupun pasukan melalui musim sukar.

Beliau berkata kekuatan jaringan penyokong di seluruh dunia menjadikan United sebagai antara kelab terbaik dunia.

“Hubungan dengan penyokong sangat penting. Itu yang menjadikan kelab ini cukup istimewa. Jadi, kami amat gembira berada di sini,” katanya.

Sementara itu, pemain tengah United, Mason Mount berkata seluruh pasukan berasa teruja dengan sambutan hangat yang diberikan sebaik tiba di sini, semalam.

“Ia satu perjalanan yang singkat selepas perlawanan menentang Aston Villa, tapi kami semua teruja berada di sini. Kami jarang berpeluang ke bahagian dunia ini dan bertemu peminat di sini, jadi kami mahu manfaatkan peluang ini sebaiknya.

“Sebaik keluar dari pesawat, ratusan peminat menunggu untuk bergambar dan menyambut ketibaan kami. Kami tak sabar turun beraksi esok,” kata pemain berusia 26 tahun itu.

Kali terakhir Manchester United beraksi di Malaysia ialah pada jelajah pramusim 2009 dengan mencatat dua kemenangan ke atas Malaysia XI, masing-masing 3-2 dan 2-0 pada 18 dan 20 Julai di Stadium Nasional.

Skuad 13 kali juara EPL itu yang menamatkan musim ini di tangga ke-15 dengan 42 mata juga dijadual meneruskan jelajah pramusim ke Hong Kong untuk menentang pasukan kebangsaan negara itu pada 30 Mei ini di Stadium Hong Kong.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan