KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Pelumba muda negara Amer Harris Jefry memasang impian untuk memburu gelaran juara keseluruhan pada penampilan sulungnya di Porsche Carrera Cup Asia (PCCA) yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, dari 6 hingga 8 Jun ini.
Pelumba berusia 22 tahun yang kini mendapat tajaan CIMB Group Holdings Berhad itu optimis beliau mampu merealisasikan impian berkenaan kerana perlumbaan itu akan berlangsung di Sepang yang juga tempat beliau menjalani latihan sebelum ini.
“Saya sudah habiskan beribu jam di Sepang. Jadi, saya yakin boleh menang di sana. Apapun, misi saya adalah nak menang keseluruhan tetapi bukan mudah kerana ada pencabar sengit yang lama dalam perlumbaan ini.
“… tapi saya akan cuba yang terbaik. Saya rasa jika berada di kedudukan tiga teratas masih dalam posisi terbaik," katanya pada majlis kerjasama antara CIMB dan Amer Harris yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di sini hari ini.
Dalam pada itu, Amer turut meletakkan sasaran untuk beraksi pada perlumbaan Super GT di Jepun dan menjadikan negara Matahari Terbit itu sebagai medan terbaik untuk membuktikan kebolehannya.
Beliau turut menanam impian untuk menjadi pelumba Malaysia pertama dalam sejarah yang bersaing dalam Super GT, dengan tempoh sasaran tiga hingga empat tahun akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial