KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen menyifatkan kekalahan skuad negara 0-3 kepada China dalam suku akhir Piala Sudirman hari ini sebagai satu pengalaman berguna buat dua pemain muda perseorangan negara Leong Jun Hao dan K. Letshanaa.
Menurut Jonassen, kedua-dua pemain menunjukkan potensi untuk digilap namun masih memerlukan masa serta pendedahan bagi mencapai tahap permainan bertaraf dunia.
“Saya sedar perlawanan menentang China bukan tugas mudah. Sebagai jurulatih, kami tidak pernah berhenti berharap, namun China tampil dengan kekuatan sebenar mereka.
“Untuk mengatakan saya berpuas hati mungkin keterlaluan, tetapi saya melihat beberapa perkara positif. Dalam masa sama, masih banyak yang perlu diperbaiki,” katanya kepada Bernama.
Dalam aksi yang berlangsung di Gimnasium Fenghuang, Xiamen, Jun Hao tewas kepada pemain No. 2 dunia, Shi Yu Qi 6-21, 14-21 manakala Letshanaa gagal memberi tentangan kepada juara Olimpik Tokyo 2020, Chen Yu Fei apabila tumbang 8-21, 7-21 dalam masa 32 minit.
Terdahulu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memulakan perlawanan dengan kekalahan 17-21, 17-21 kepada pasangan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dalam masa 49 minit.
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu negara, Rexy Mainaky berkata gandingan Tang Jie-Ee Wei masih memiliki keserasian namun prestasi Ee Wei di jaring dilihat perlu dipertingkat, khususnya ketika set pertama yang memberi kelebihan kepada lawan.
“Masih ada ruang untuk diperbaiki, terutamanya dari segi ketenangan Ee Wei ketika mengawal permainan di jaring,” KATANYA.
Rexy turut menjelaskan keputusan menurunkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika menentang Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan C semalam adalah berdasarkan strategi pasukan.
“Ini adalah kejohanan berpasukan. Saya serahkan kepada barisan jurulatih untuk menentukan siapa yang paling sesuai diturunkan. Sekiranya kita menang menentang Jepun, isu ini mungkin tidak timbul,” katanya.
Malaysia tewas 2-3 kepada Jepun dalam aksi tersebut dengan Aaron-Wooi Yik kalah kepada gandingan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-12, 20-22, 21-23.
Dengan kekalahan itu, Malaysia menamatkan saingan di tempat kedua Kumpulan C dan diundi menentang juara Kumpulan A, China pada suku akhir hari ini.
Harapan Malaysia untuk mara ke separuh akhir Piala Sudirman buat kali ketiga berturut-turut berkubur apabila tunduk 0-3 kepada China.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial