SUKAN > BERITA

Keputusan FIB Lanjut Tempoh Permohonan Lesen Kebangsaan Ikut Peraturan - MFL

02/05/2025 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini menjelaskan bahawa keputusan badan bebas First Instance Body (FIB) melanjutkan tempoh permohonan Lesen Kebangsaan adalah berdasarkan peruntukan yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024/2025.

MFL dalam satu kenyataan memaklumkan jawatankuasa FIB menghargai komitmen kelab-kelab yang telah melengkapkan proses penyerahan dokumen dalam sistem pelesenan AFC CLAS sebelum atau pada tarikh akhir asal iaitu 30 April lepas.

Namun, badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu menjelaskan atas permohonan bertulis daripada beberapa kelab, pihak FIB telah mempertimbangkan permohonan lanjutan tarikh akhir kepada 10 Mei depan.

“Keputusan lanjutan ini dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada FIB di bawah Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024, Artikel 7, 8(a).

“Dengan lanjutan masa itu, MFL berharap agar kelab-kelab terlibat dapat memuat naik dokumen selewat-lewatnya pada tarikh akhir baharu iaitu sebelum atau pada 10 Mei 2025,” menurut kenyataan itu.

Menurut MFL, Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024, Artikel 7, 8(a) menyatakan bahawa: "The decision-making bodies must operate according to the principles of natural justice and must as a minimum regulate the following standards: deadlines (e.g. submission deadline, etc.);" serta mengambil kira keadaan khusus bagi setiap permohonan dan kes yang dikemukakan.

Rabu lepas, FIB bersetuju untuk memberikan lanjutan masa kepada kelab untuk melengkapkan semua dokumen bagi Pelesenan Kelab Kitaran 2024/2025 bagi Lesen Kebangsaan dalam sistem pelesenan AFC CLAS.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan