SUKAN > BERITA

SUMBANGSIH: SELANGOR FC HARAP HUKUMAN TIDAK TERLALU BERAT

10/05/2024 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar berharao hukuman yang dikenakan ke atas skuad Gergasi Merah oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak terlalu membebankan.

Hal itu susulan keputusan pasukan tersebut untuk tidak hadir ke Perlawanan Sumbangsih bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor, yang dijadualkan hari ini. 

Shahril yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bagaimanapun mengakui prerogatif itu terletak di bawah MFL namun mestilah dalam peraturan industri bola sepak di Malaysia.

“…harapan saya, kalau boleh, apa-apa saja hukuman selepas ini, janganlah terlalu membebankan kelab. (Namun) terpulang kepada pihak berkenaan sebab ini adalah bidang kuasa MFL.

“Kalau boleh janganlah nak mengeruhkan keadaan. Biarlah reda, jadi kita boleh melangkah ke hadapan. Tinggalkanlah apa yang ada ini, supaya kita tengok ke hadapan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC Faisal Halim di sebuah hospital di sini hari ini.

Beliau turut menafikan penarikan diri itu disebabkan terdapat pemain lain yang mengalami kecederaan dan menegaskan hanya Faisal yang tidak berada pada tahap terbaiknya. 

Ahad lepas, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal Halim cedera akibat disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Menurut Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan semalam, keputusan Red Giants dimaklumkan dalam satu surat rasmi sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan itu diberikan kemenangan ‘walkover’ dengan jaringan 3-0.

JDT turut memperoleh tiga mata bagi saingan liga oleh MFL memandangkan perlawanan Sumbangsih menyumbang kepada kutipan mata bagi Liga Super musim 2024/2025. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan