SUKAN > BERITA

PERSATUAN BOLASEPAK SINGAPURA DOAKAN FAISAL HALIM SEGERA SEMBUH

09/05/2024 06:06 PM

SINGAPURA, 9 Mei (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) pada Khamis mendoakan agar pemain sayap sensasi Harimau Malaya, Mohamad Faisal Abdul Halim cepat sembuh dan pulih sepenuhnya selepas cedera teruk dipercayai disimbah asid.

FAS berkata ia berharap untuk melihat pemain bola sepak yang lebih dikenali sebagai Faisal Halim, kembali ke padang.

"FAS bersolidariti dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan mengecam sebarang bentuk keganasan terhadap pemain dan pegawai," kata FAS menerusi hantaran di laman media sosialnya pada Khamis.

Pemain berusia 26 tahun yang lebih mesra disapa ‘Mickey’ oleh peminatnya mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan susulan insiden di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei.

Mohamad Faisal telah menjalani dua pembedahan dan kini berada dalam fasa rawatan rekonstruktif, yang melibatkan pembaikan struktur dan pemulihan struktur badan pemain itu.

Ini merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan.

Serangan terhadap pemain bola sepak negara berterusan apabila pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim pula diserang dua lelaki menaiki motosikal yang memecahkan cermin bahagian belakang keretanya menggunakan tukul besi di Johor Bahru, pada Selasa. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan