SUKAN > BERITA

KBS PERTIMBANG BERI PERUNTUKAN KEPADA SKUAD BOLING PADANG

09/05/2024 03:45 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) akan mempertimbangkan untuk memberi peruntukan kepada skuad boling padang kebangsaan yang menampilkan prestasi membanggakan di pentas antarabangsa. 

Menterinya Hannah Yeoh berkata ketika ini MSN sedang menyelesaikan beberapa perkara berkaitan penstrukturan bajet bagi memastikan dana dimiliki cukup untuk disalurkan kepada sukan boling padang dan sukan-sukan lain yang tidak berada dalam senarai sukan teras. 

Beliau berkata penstrukturan itu perlu dilakukan agar kementeriannya dapat meneliti semula kaedah pembahagian peruntukan kepada setiap sukan supaya selari dengan perancangan persatuan sukan tempatan.

"Saya telah berjumpa atlet boling padang negara Nor Farah Ain Abdullah dan mendengar perancangan Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) dan hari ini saya akan bincang dengan MSN untuk lihat bagaimana kita boleh menyokong mereka. 

"Berdasarkan prestasi (sukan boling padang) wajar dibantu kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Fiestabowls di bangunan PLBM di sini hari ini. 

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan untuk menyenaraikan kembali boling padang ke dalam Program Podium, Hannah berkata hal tersebut bergantung kepada bajet KBS dan MSN.

"Perancangan untuk Program Podium ini kita sudah ada ahli lembaga pengurusan baharu dan MSN sudah ada perancangan untuk penambahbaikan…semestinya (kita akan masukkan sukan berpotensi) bergantung kepada bajet," katanya. 

Skuad boling padang negara mempamerkan peningkatan prestasi sejak September lepas apabila Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi muncul juara acara pairs wanita pada Kejohanan Boling Padang Dunia di Gold Coast, Australia. 

Kejayaan itu diteruskan Nor Farah Ain yang muncul juara Kejohanan Dunia Dalam Dewan 2024 di Guernsey.

Tahun lepas, MSN memaklumkan akan memasukkan sukan boling padang ke dalam Program Podium namun sehingga kini tiada perkembangan mengenai perkara tersebut. 

Sebelum ini, boling padang sudah berada dalam Program Podium ketika persiapan ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, namun dikeluarkan berikutan sukan itu tidak dipertandingkan pada Sukan SEA Kemboja 2023 dan Sukan Asia Hangzhou 2022. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan