SUKAN > BERITA

JDT HARAP SELANGOR TIMBANG SEMULA KEPUTUSAN TIDAK HADIR PERLAWANAN

09/05/2024 01:37 PM

JOHOR BAHRU, 9 Mei (Bernama) -- Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berharap pasukan Selangor FC dapat menimbangkan semula keputusan untuk tidak hadir perlawanan Liga Super Malaysia dan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim esok, setelah jaminan keselamatan diberikan oleh polis dengan menggandakan kehadiran pasukan keselamatan.

Ketua pegawai eksekutif JDT Alistair Edwards berkata pihaknya kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh Selangor itu meskipun jaminan telah diberikan oleh Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Johor bahawa keselamatan pasukan, pemain dan penyokong merupakan keutamaan dengan polis telah menempatkan 1,500 anggota.

Beliau berkata keputusan untuk tidak hadir perlawanan itu boleh menetapkan satu duluan (precedent) untuk mana-mana pasukan menarik diri kerana berasakan tidak selamat meskipun telah mendapat jaminan daripada polis.

“Kami sememangnya mengutuk keras insiden yang melibatkan Faisal Halim dan juga ancaman yang diterima oleh beberapa individu di Selangor FC.

“Kami juga pernah diserang dalam keadaan yang ‘hostile’ di Pahang, Perak dan Kelantan sebelum ini tetapi masih ke gelanggang lawan dan bermain dalam perlawanan yang dikawal ketat pihak polis,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers hari ini.

Katanya meskipun kejadian baru-baru ini membimbangkan, kepercayaan perlu diletakkan kepada pihak berkuasa bukan hanya untuk menyiasat kes, tetapi juga untuk menjaga keselamatan dan memastikan musim bola sepak 2024-2025 berjalan lancar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan