SUKAN > BERITA

DISIPLIN, KEPANTASAN JEPUN PUNCA KEKALAHAN SPEEDY TIGERS

09/05/2024 01:24 PM

IPOH, 9 Mei (Bernama) -- Disiplin tinggi dan kepantasan Jepun melakukan serangan dilihat sebagai punca skuad hoki negara tewas 1-2 kepada pasukan itu semalam, kata pemain pertahanan muda Muhammad Amirul Hamizan Azahar.

Jepun, yang kini memburu kejuaraan sulung kejohanan jemputan itu, sememangnya mempunyai benteng pertahanan ampuh apabila hanya dibolosi empat kali dalam empat aksi setakat ini, berbanding gawang Malaysia yang ‘bocor’ 13 kali.

Keputusan itu menyaksikan Speedy Tigers gagal mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS), yang dimenangi buat kali pertama pada edisi lepas (2022). 

Muhammad Amirul, 24, turut menganggap bahawa kekalahan itu bukan pengakhiran buat pasukan negara kerana masih mempunyai misi menentang Korea Selatan pada aksi terakhir liga sepusingan esok, selain dijangka bertemu pasukan nombor 10 dunia, New Zealand pada penentuan tempat ketiga-keempat, Sabtu ini. 

“Kita tak boleh salahkan barisan serangan atau pertahanan, tetapi kesilapan sebagai satu pasukan. Mungkin untuk perlawanan semalam kita nampak barisan serangan agak tumpul, tapi untuk kejohanan ini, kita telah menjaringkan 17 gol dalam empat perlawanan.

“Walaupun mempunyai banyak serangan dan peluang (lima pukulan sudut penalti), kita gagal cipta jaringan. Apabila dalam kejohanan, kita bukan dalam proses pembelajaran tetapi proses pelaksanaan, jadi apa yang kita belajar kena laksanakan dalam padang, kalau tidak akan dihukum,” katanya kepada pemberita. 

Keputusan semalam menyaksikan Jepun pertama kali mara ke pentas final dan akan membuat perhitungan dengan Pakistan untuk menentukan kejuaraan.

Kedua-dua pasukan terbaik kejohanan itu mengumpul 10 mata, manakala Malaysia berada di tempat ketiga dengan enam mata.

Malaysia sebelum itu bangkit dari kekalahan 4-5 kepada Pakistan untuk membenam Kanada 6-2 dan New Zealand 6-4, sekali gus menjadi penjaring terbaik kejohanan dengan satu jaringan mengatasi New Zealand.

Sementara itu, mengakui kemampuan jentera serangan Malaysia dalam menghasilkan gol, ketua jurulatih Korea Selatan Taeseok Min bertekad untuk mematahkan serangan pemain negara dengan memperkukuhkan kubu pertahanan.

“Perlawanan selepas ini sukar. Malaysia ialah pasukan yang sangat kuat dan pemainnya sangat pantas. Kami akan memperkukuhkan pertahanan dan akan mengekang pergerakan Malaysia," katanya.

Jepun dan juara tiga kali Pakistan, yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat aksi, masing-masing akan bertemu Kanada dan New Zealand esok, untuk melengkapkan jadual pusingan awal.

Malaysia merangkul gelaran PSAS buat kali pertama pada 2022 setelah lima kali merangkul naib juara sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1983.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan