SUKAN > BERITA

PSAS: PAKISTAN BUKA PELUANG KE FINAL DENGAN ATASI KANADA 5-4

08/05/2024 10:13 PM

IPOH, 8 Mei (Bernama) -- Pakistan berada di landasan tepat untuk mengesahkan slot ke aksi final Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) ke-30 selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengecewakan pasukan tercorot Kanada 5-4 di Stadium Hoki Azlan Shah di sini hari ini.

Pakistan selaku juara tiga kali dan ranking  ke-15 dunia, yang menewaskan juara bertahan Malaysia 5-4 dan Korea Selatan 4-0 sebelum seri 1-1 dengan Jepun, dijangka tidak mendapati masalah mengekalkan rekod tanpa kalah dengan Kanada pada saingan kejohanan enam negara itu.

Bagaimanapun, Kanada, pasukan nombor 19 dunia, mengejutkan Pakistan dengan jaringan Sean Davis pada minit kelima dan Harbir Sindhu pada minit ke-17.

Pakistan di bawah bimbingan Roelant Oltmans berjaya merapatkan kedudukan dengan Abu Mahmood menjaringkan dua pukulan sudut penalti pada minit ke-28 dan 29, selain jaringan Arshad Liagat pada minit ke-36, Rana Waheed Ashraf (minit ke-44) dan Ghazanfar Ali (minit ke-45) untuk mendahului manakala Kanada cuba melawan melalui gol minit ke-50 oleh Avjot Buttar.

Skuad Green Shirts yang belum tewas kini telah mengumpul 10 mata sebelum berdepan pasukan ranking tertinggi, New Zealand pada perlawanan round robin terakhir Jumaat ini.

"Kanada bermain dengan baik dan menyukarkan kami, tetapi kami berjaya bangkit untuk mengutip tiga mata. Kami berasa tertekan kerana gagal peluang melakukan penyudahan...kami mendapat 11 pukulan sudut penalti tetapi hanya menjaringkan dua gol," kata Oltmans pada sidang media selepas perlawanan itu.

Sementara itu, ketua jurulatih Kanada, Patrick Tshutshani menyifatkan pasukannya menampilkan permainan terbaik dalam kejohanan ini selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut.

"Selepas menilai dalam mesyuarat pasukan apa sebenar yang hendak dihasilkan...pasukan muda ini kembali bersemangat untuk meningkatkan tahap permainan tanpa rasa gementar,” katanya.

Sementara itu, juara dua kali New Zealand menewaskan Korea Selatan 4-1 untuk mengekalkan harapan untuk menamatkan saingan empat teratas.

Walau bagaimanapun, sebelum kemenangan, pasukan Kiwi terpaksa menunggu lebih sejam kerana ribut petir yang lebat, untuk meneruskan perlawanan tertangguh hanya selepas satu minit dan 15 saat.

Kembali selepas penantian lama, pemain nombor 10 dunia New Zealand menjaringkan gol menerusi George Baker pada minit keempat, Jonty Elmes (18'), Smith Jake (23') dan Isaac Houlbrooke (53'), manakala Korea Selatan membalas menerusi Sim Jaewon dalam minit ke-39.

Selepas empat perlawanan, New Zealand kini mempunyai enam mata manakala Korea Selatan berkemungkinan terlepas kedudukan empat teratas selepas hanya memenangi satu perlawanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan