SUKAN > BERITA

SUKMA SARAWAK: PERAK SASAR KELOMPOK LIMA TERBAIK, IDAM LEBIH 30 PINGAT EMAS

08/05/2024 06:33 PM

IPOH, 8 Mei (Bernama) -- Perak menetapkan sasaran untuk membawa pulang antara 30 hingga 35 pingat emas dari temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak yang dijadual berlangsung pada17 hingga 24 Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah percaya jika sasaran itu berjaya dicapai, ia mampu meletakkan kontinjen berkenaan sekurang-kurangnya dalam kelompok lima terbaik keseluruhan.

“Paling utama kita mesti baiki pencapaian atau prestasi di SUKMA Kuala Lumpur dua tahun lepas iaitu kita hanya berada di tangga kelapan.

“Untuk memastikan sasaran tercapai, semua atlet telah mula menjalani latihan sejak tahun lepas termasuk menerusi pelbagai aktiviti yang diatur untuk meningkatkan prestasi mereka,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sukan Negeri Perak dan Countdown 100 hari SUKMA Sarawak dan Majlis Sambutan Aidilfitri 2024 bersama warga sukan Perak di sini hari ini.

Pada SUKMA Kuala Lumpur, Perak mengutip 27 pingat emas, 28 Perak dan 46 gangsa.

Khairudin berkata kontinjen Perak pada SUKMA Sarawak akan membabitkan 900 atlet terdiri daripada 516 lelaki dan 384 wanita.

Beliau berkata Perak tidak akan menyertai semua acara, sebaliknya tumpuan diberikan kepada sukan yang dilihat mampu menyumbang pingat atau bersaing dengan negeri lain.

“Antaranya ialah beberapa acara seni bela diri seperti judo, silat olahraga, kabbadi dan silambam. Bukan hanya kita antara kuasa besar dalam acara ini, malah ia juga menawarkan banyak jumlah pingat,” katanya.

Menurut Khairudin, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim telah dilantik sebagai ketua kontinjen (CDM) SUKMA Sarawak manakala Pegawai Kewangan Negeri Datuk Mohd Zaki Mahyuddin sebagai timbalannya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan