SUKAN > BERITA

BENTENG PERTAHANAN SPEEDY TIGERS SEMAKIN SERASI - HAFIZUDDIN

08/05/2024 02:12 PM

IPOH, 8 Mei (Bernama) -- Penjaga gol pasukan hoki kebangsaan Muhammad Hafizuddin Othman percaya keserasian benteng pertahanan skuad Speedy Tigers yang baharu semakin serasi selepas tiga aksi di peringkat antarabangsa pada Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) ke-30 di sini. 

Pemain berusia 32 tahun itu yang menjadi antara watak utama untuk menewaskan pasukan di ranking ke-10 dunia iaitu New Zealand dengan kedudukan 6-4 malam tadi, berkata kombinasi Kapten Muhammad Marhan Mohd Jalil, Syarman Mat Tee dan Muhammad Syafiq Hassan semakin utuh untuk menyekat gawang negara dibolosi. 

“Dalam aksi semalam pun, kita   tengok   memang   kerap   mereka   melakukan pintasan hantaran lawan dan kawal benteng pertahanan dengan baik, jadi saya rasa kalau diberikan masa lagi mereka boleh lebih baik pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita malam tadi. 

Muhammad Hafizuddin yang mempunyai 109 penampilan bersama Malaysia, berjaya mematahkan beberapa serangan penting skuad Black Sticks semalam, termasuk menyelamatkan pukulan penalti Jonty Elmes, 18 saat sebelum tamat suku kedua untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Beliau berkata bimbingan daripada jurulatih  penjaga gol S. Kumar pada sesi  latihan pukulan   penalti banyak membantunya walaupun gagal menyelamatkan percubaan pertama Elmes pada minit ke-28. 

Skuad Speedy Tigers yang dikecewakan dengan kekalahan 4-5 kepada Pakistan pada Sabtu, berjaya bangkit untuk membenam Kanada 6-2 pada Ahad, sebelum kemenangan penting ke atas New Zealand yang menjadi satu-satunya pasukan pada kejohanan kali ini yang layak ke Olimpik Paris.

Walaupun juara bertahan, Malaysia merupakan pasukan dengan jumlah jaringan tertinggi pada PSAS kali ini dengan 16 jaringan selepas tiga perlawanan setakat ini, keadaan benteng pertahanan negara agak merisaukan apabila dibolosi sebanyak 11 kali.

Ia turut mencetuskan kebimbangan buat ketua jurulatih Sarjit Singh yang mengakui anak buahnya perlu bekerja lebih keras untuk memastikan pertahanan lebih ampuh pada aksi-aksi seterusnya dalam mempersiapkan pasukan menghadapi Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

“Kita tidak boleh buat kesilapan mudah dan beri peluang kepada pihak lawan serang semula. Kita juga perlu elak main di bahagian pertahanan,” katanya. 

Malaysia seterusnya akan bertemu Jepun pada malam ini sebelum menamatkan liga sepusingan menentang Korea Selatan pada Jumaat.

Skuad Speedy Tigers yang berada di kedudukan ketiga dengan enam mata, satu mata di belakang Pakistan dan Jepun perlu berada di kedudukan dua teratas untuk mara ke final.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan