SUKAN > BERITA

TSG SASAR LAPAN PODIUM DI TOUR OF ALGERIA

08/05/2024 01:24 PM

KUALA TERENGGANU, 8 Mei (Bernama) -- Pasukan berbasikal terbaik Asia Terengganu Cycling Team (TSG) menyasarkan lapan podium pada kejohanan Tour of Algeria yang akan berlangsung pada 12 hingga 21 Mei ini.

Kejohanan yang memasuki siri ke-24 itu melibatkan 10 peringkat bermula dengan perlepasan di Oran dan akan berakhir di Annaba melalui wilayah antaranya Sidi Bel Abbés, Mostaganem, Ténès, Blida, Algiers, Skikda, Bouira, Sétif, Constantine dan Guelma.

Ketua Pegawai Operasi TSG Nasiruddin Wan Idrus berkata bagi merealisasikan impian itu, lima pelumba akan diturunkan bagi membawa cabaran kejohanan yang bertaraf 2.2 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu.

Beliau berkata TSG yakin mampu mencapai sasaran berkenaan berdasarkan prestasi semasa para pelumba dan rekod pencapaian musim lepas.

"Kita akan mempertaruhkan lima pelumba iaitu tiga pelumba import terdiri daripada Youcef Reguigui, Metkel Eyob dan Aiman Cahyadi serta dua pelumba tempatan Nur Amirul Fakhruddin dan Wan Abdul Rahman Hamdan.

"TSG memiliki rekod cemerlang di Tour of Algeria apabila memenangi 10 podium pada perlumbaan itu tahun lepas. Bagaimanapun, tahun ini penganjur menambah dua peringkat perlumbaan menjadikan cabaran serta jarak laluan lebih panjang," katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Dalam pada itu, Nasiruddin berkata setakat ini TSG masih menduduki takhta teratas pasukan terbaik Asia  dan dunia selepas mengumpul 914 mata daripada lebih 10 siri perlumbaan bermula Oktober tahun lepas.

Berdasarkan prestasi berkenaan, beliau yakin TSG akan mampu mempertahankan gelaran pasukan nombor satu Asia untuk empat tahun berturut-turut selain memperbaik kedudukan pasukan terbaik dunia.

"Kita sekarang berada pada fasa kedua sebelum musim 2024 melabuhkan tirainya Oktober depan. Dalam tempoh lima bulan ini kita jangka sertai 18 lagi perlumbaan.

"Setakat ini, sembilan perlumbaan sudah disahkan. Kita sedang berusaha mendapatkan jemputan bagi menyertai perlumbaan bertaraf pro series di China bagi mengutip lebih banyak mata dan mengukuhkan kedudukan," katanya.

Nasiruddin berkata TSG turut menjalankan pengubahsuaian terhadap program latihan susulan cuaca panas yang melanda negara pada masa ini.

Antaranya memendekkan tempoh latihan daripada enam kepada dua jam sahaja setiap hari serta menggunakan laluan yang agak redup di kawasan pedalaman bagi mengelak pendedahan terus kepada cahaya matahari untuk tempoh yang panjang.

Menurut beliau, pihak kelab amat menitikberatkan faktor kesihatan dan keselamatan pelumba yang dianggap sebagai aset penting pasukan.

"Selain itu, kita juga bekalkan air minuman yang sesuai dan secukupnya bagi mengelak berlaku kes strok haba … atlet ialah golongan berisiko tinggi dan TSG sendiri amat memandang serius soal penjagaan kesihatan pelumba," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan