SUKAN > BERITA

FAISAL HALIM JALANI PEMBEDAHAN KEDUA PETANG INI, MOHON DOA SEMUA

07/05/2024 07:42 PM

SHAH ALAM, 7 Mei (Bernama) -- Pemain sayap sensasi Harimau Malaya Faisal  Halim mohon mendoakan kesembuhan beliau yang kini berada di bawah pemantauan rapi susulan cedera akibat disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Ahad lepas.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata perkara itu antara sebahagian daripada komunikasi ringkas antara beliau dan tonggak jentera serangan Gergasi Merah itu, petang ini.

Shahril berkata pemain berusia 26 tahun itu juga memintanya untuk menyampaikan salam kepada rakan sepasukan di Selangor.

“Saya baru saja melawat beliau (Faisal Halim), syukur dia sedar tapi dijadualkan untuk menjalani pembedahan kali kedua jam 5.30 petang hari ini...saya sempat jumpa beliau, beliau kata 'hi’ dan minta doakan beliau supaya cepat sembuh dan kirim salam pada kawan-kawan.

“Saya difahamkan prosedur sama juga dijalankan (seperti pembedahan pertama), sebab kesan simbahan asid banyak (iaitu) di muka, leher, lengan dan juga badan. Jadi prosedur dilakukan bahagian kecederaan,” katanya ketika ditemui selepas melawat Faisal Halim di sebuah hospital swasta di sini, hari ini.

Pada masa sama, Shahril memaklumkan berdasarkan maklumat daripada doktor, jenis asid yang digunakan dalam insiden ke atas Faisal Halim adalah asid sulfurik yang sangat berbahaya.

Sementara itu,  katanya ketika ini hampir keseluruhan anggota badan bahagian atas pemain yang lebih mesra disapa ‘Mickey’ dalam kalangan peminat itu yang terjejas terpaksa dibaluti bagi mengelakkan implikasi lebih besar antaranya jangkitan kuman.

Semalam, Shahril mengesahkan Faisal Halim disahkan mengalami kelecuran tahap empat selepas menjalani pembedahan pertama pada Ahad malam, selain pergerakan dan percakapannya ketika ini turut terbatas berikutan insiden itu.

Ahad lepas, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal Halim cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Pemain yang memenangi gol terbaik pada kempen Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lepas itu dijangka tidak dapat beraksi minimum lima atau enam bulan sekali gus terlepas dua aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Ia merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain negara selepas Muhammad Akhyar Abdul Rashid apabila pemain pinjaman Terengganu FC itu cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lepas.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan