SUKAN > BERITA

PELUANG TRIO PECUT WANITA KE OLIMPIK MASIH SAMAR - PKBM

06/05/2024 05:18 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Peluang trio pecut wanita negara yang berada di kedudukan pertama senarai menunggu untuk beraksi pada Sukan Olimpik Paris 2024 masih samar kerana jarang-jarang ada negara menarik diri daripada menyertai acara berkenaan.

Malah Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill merasakan perkara itu kemungkinan tidak akan terjadi kerana setiap negara mempunyai senarai pelumba simpanan untuk dibawa masuk ke dalam pasukan sekiranya berlaku kejadian luar jangka. 

“Hampir mustahil untuk sesiapa menarik diri melainkan satu yang sangat buruk berlaku ke atas sesuatu pasukan...tetapi untuk pelumba negara kita berada dalam senarai menunggu itu sudah baik.

“Jadi kita tidak begitu jauh (untuk layak ke Olimpik). Saya rasa kita jangan lihat di Paris sahaja, tetapi kita harus melihat di Olimpik Los Angeles 2028,” katanya kepada pemberita di sini.

Pasukan berbasikal trek wanita kebangsaan bergantung kepada situasi apabila terdapat mana-mana negara menarik diri daripada menyertai acara berkenaan di temasya empat tahun sekali itu.

Skuad pecut wanita negara dilaporkan menduduki ranking kesembilan Olimpik, ke-11 dunia dan merupakan pasukan simpanan pertama untuk ke Olimpik Paris.

Trio pecut wanita itu dibarisi Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Nurul Aliana Syafika Azizan dan Anis Amira Rosidi. 

Nurul Izzah Izzati ketika ini menjadi satu-satunya pelumba trek wanita yang menempah slot ke Olimpik Paris bagi acara keirin dan pecut selain turut ditemani Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Dalam perkembangan lain, Amarjit mengakui gusar setiap kali pelumba negara mengambil bahagian dalam perlumbaan kompetitif dengan terdekat di Siri Piala Trek Jepun pada 9 hingga 12 Mei ini sebagai persediaan ke Olimpik kerana bimbang sekiranya berlaku perkara di luar jangka. 

“Mohd Azizulhasni bersama Muhammad Shah Firdaus akan ke Jepun sebelum kembali ke Malaysia dan pada 8 Jun, mereka dijadualkan berangkat ke Eropah untuk latihan mereka,” katanya. 

Sukan Olimpik Paris 2024 dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan