SUKAN > BERITA

JEPUN CIPTA KEJUTAN LAGI, TEWASKAN NEW ZEALAND 4-1

05/05/2024 08:46 PM

IPOH, 5 Mei (Bernama) -- Jepun meneruskan status sebagai 'pembunuh gergasi’ pada edisi ke-30 Piala Sultan Azlan Shah dengan menewaskan pasukan pilihan dan juara dua kali, New Zealand 4-1 dalam perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Azlan Shah, hari ini.

Samurai yang menewaskan pasukan di ranking ke-11, Korea Selatan 2-1 semalam, memperoleh jaringan menerusi Naru Kimura pada minit ke-13, diikuti Raiki Fujishima (23), Tsubasa Tanaka (43) dan Ken Nagayoshi (60).

Gol sagu hati New Zealand diperoleh menerusi pukulan sudut penalti Scott Cosslett pada minit ke-55.

The Black Sticks yang membelasah Kanada 7-1 dalam perlawanan pembukaan semalam, bergelut mencari rentak selepas terpaksa beraksi dua perlawanan berturut-turut dalam cuaca panas.

Ketua jurulatih Jepun Yoshihiro Anai berkata anak buahnya mampu meraih kemenangan apabila mematuhi prinsip mereka dan teratur sepanjang perlawanan.

“New Zealand jauh lebih kuat dari segi fizikal dan mental tetapi apa yang kami mainkan adalah dalam satu organisasi, dan ia benar-benar berfungsi dengan baik. Kami memberi tumpuan kepada pertahanan untuk berfungsi dengan baik...melaksanakan tugasan satu persatu juga menjadi faktor kemenangan.

“Apabila mereka memilih power-play (menggantikan penjaga gol dengan pemain luar padang lain) dan menyerang secara agresif, kami memberi tumpuan kepada permainan teratur, serang balas, hantaran terus dan kerja berpasukan,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, ketua jurulatih New Zealand Greg Nicol berkata walaupun pemainnya bermain dengan baik namun tidak dapat memanfaatkan peluang ketika berada dalam kotak penalti.

Selepas berehat sehari, New Zealand akan berdepan tuan rumah Malaysia pada Selasa, manakala Jepun akan membuat perhitungan dengan Pakistan.

Sementara itu, juara tiga kali Pakistan meraih kemenangan kedua berturut-turut mengatasi Korea Selatan 4-0 selepas menang tipis 5-4 ke atas Malaysia, semalam.

Jaringan Hannan Shahid (minit ketiga), Liagat Arshad (ke-20), Ghazanfar Ali (ke-27) dan Muhammed Sufyan Khan (ke-50) membaawa anak buah Roelant Oltmans meraih tiga mata, sekali gus mencerahkan peluang ke final.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan