SUKAN > BERITA

BOLING: GILLIAN, HAFIZ RANGKUL KEJUARAAN PERTAMA

05/05/2024 07:18 PM

PETALING JAYA, 5 Mei (Bernama) -- Pemain boling wanita kebangsaan Gillian Lim mencipta sensasi apabila merangkul kejuaraan sulungnya di Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Malaysia ke-42 yang berlangsung di Sunway Mega Lanes di sini hari ini. 

Pada pertandingan akhir, atlet berusia 25 tahun itu berjaya menundukkan rakan senegara yang juga juara bertahan Lavinia Kho Jia Jie dengan melakukan 235 jatuhan pin.

Atlet kelahiran Sarawak itu membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000. 

Gillian sebelum itu berada pada kelas tersendiri apabila menewaskan juara dunia 2023 Natasha Mohamed Roslan (tempat ketiga). 

Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Gillian berkata Kejohanan Tenpin Boling Asia di Thailand telah menjadi motivasi buat dirinya untuk menjuarai kejohanan ini memandangkan Terbuka Malaysia merupakan pentas mengumpul mata untuk kelayakan menyertai kejohanan di Thailand itu.

Sementara itu, kategori lelaki menyaksikan Muhammad Hafiz Zainuddin mencipta kejutan apabila merangkul kejuaraan pertamanya selepas lapan tahun bersama skuad elit negara. 

Pemain berusia 24 tahun itu berjaya mengetepikan cabaran pemain berpengalaman yang juga rakan senegara Syafiq Ridhwan Abdul Malik dengan menjatuhkan 234 pin pada perlawanan akhir untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000. 

“Selepas ini saya akan menyertai Terbuka Kuala Lumpur sebelum beraksi di Kejohanan Asia pada September,” katanya. 

Tempat ketiga menjadi milik seorang lagi rakan senegara Wan Muhd Zarif Ikram. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan