SUKAN > BERITA

CHENG HOE MAHU TINGGAL LEBIH LAMA DI THAILAND

05/05/2024 05:33 PM

BANGKOK, 5 Mei (Bernama) -- Bekas Pengurus Selangor FC Tan Cheng Hoe mahu berada lebih lama di Thailand untuk membantu kelabnya Police Tero FC bertahan dalam Liga Premier Thailand yang juga liga Tahap 1 (T1).

Menjadi jurulatih sulung dari Malaysia yang berkhidmat di negara Gajah Putih itu, Tan berkata beliau memerlukan tempoh masa lebih lama memandangkan tugasnya membantu Police Tero kekal di T1 adalah sangat mencabar.

"Ya, satu tugas yang sangat mencabar buat saya terutamanya apabila saya datang dari Malaysia dengan Selangor FC, sebuah pasukan yang mempunyai prestasi baik dalam liga...sekarang saya melatih kelab yang sedang berjuang untuk bertahan dalam liga (Liga Premier Thailand), jadi sangat berbeza.

"Rancangan saya adalah untuk berada di sini (Thailand) dalam jangka masa panjang kerana saya perlu menimba lebih pengalaman dalam tugasan pertama saya di luar negara ini dan membantu pasukan bertahan ialah matlamat saya," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

"Tidak elok untuk CV (resume) jika tugasan luar negara saya yang pertama menyebabkan kedudukan kelab merosot," katanya yang mahu membina reputasi di Thailand. 

Tan, yang memiliki lesen FIFPro, iaitu kelayakan paling berprestif yang boleh dicapai seseorang jurulatih, berkata beliau dilantik sebagai jurulatih Police Tero pada waktu kelab itu berada pada kedudukan ke-14 daripada 16 pasukan T1.

"Saya tahu mereka tidak menunjukkan prestasi yang baik, tidak konsisten dan keyakinan mereka sangat rendah terutamanya apabila mereka tidak memenangi perlawanan. Mereka penat secara mental dan fizikal.

"Saya cuba membina keyakinan dan kekuatan mental mereka. Saya harap dengan berbaki empat perlawanan, kami sekurang-kurangnya boleh menang dua perlawanan untuk menaikkan keyakinan mereka untuk bertahan dalam liga," katanya.

Ditanya adakah terdapat halangan komunikasi atau bahasa untuk menyampaikan mesejnya kepada pemain, Tan berkata beliau tidak berdepan masalah komunikasi kerana dibantu penolong jurulatih yang boleh berbahasa Thai dan Inggeris dengan baik.

" Saya tidak mempunyai masalah komunikasi dengan pemain tempatan dan asing kerana saya mempunyai pembantu jurulatih yang boleh menyampaikan mesej saya. Saya agak seronok bekerja dengan kumpulan ini yang terdiri daripada warga tempatan dan pemain asing ini," katanya.

Berbaki tiga perlawanan, Police Tero setakat ini merekodkan satu kemenangan, dua seri dan empat kekalahan di bawah kendalian Tan dan ketika ini berada pada kedudukan bawah Liga Premier Thailand.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan