SUKAN > BERITA

CHINA JULANG PIALA UBER BUAT KALI KE-16

05/05/2024 08:06 PM


From Amiril Muttaqien & Mohd Nazirul Mohamed Roselan

CHENGDU, 5 Mei (Bernama) -- China berjaya merangkul kejuaraan Piala Uber buat kali ke-16 apabila menewaskan juara tiga kali, Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone di sini hari ini.

Pemain perseorangan wanita nombor dua dunia Chen Yu Fei memberikan permulaan memberangsangkan buat China apabila menewaskan Gregoria Mariska Tunjung, 21-7, 21-16 dalam perlawanan berlangsung selama 36 minit.

Gandingan nombor satu dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan kemudian meneruskan kecemerlangan tuan rumah selepas mengatasi pasangan Siti Fadia Silva Ramadhanti-Ribka Sugiarto 21-11, 21-8.

Pemain perseorangan kedua China, He Bing Jiao diberikan tentangan sengit sebelum menundukkan  Ester Nurumi Tri Wardoyo, 10-21, 21-15, 21-17 dalam pertarungan 69 minit sekali gus mengesahkan trofi Piala Uber pertama China dalam tempoh empat tahun selepas edisi 2020 di Aarhus, Denmark.

Meskipun tewas, Indonesia boleh pulang dengan bangga setelah berjaya ke final pertama mereka selepas 16 tahun.

Bercakap selepas perlawanan itu, Bing Jiao, 27, berkata beliau berasa bangga dapat membantu China menjulang trofi itu selepas mereka tewas kepada Korea Selatan, 2-3 pada final edisi lepas di Bangkok, Thailand.

Yu Fei pula berkata keutuhan semangat berpasukan menjadi kunci yang memberikan inspirasi kepada mereka untuk memenangi kejuaraan bagi kali keempat sebagai tuan rumah selepas Guangzhou 2002, Wuhan 2012 dan Kunshan 2016.

Sementara itu Ester, 21, mengakui beliau tewas kepada pemain yang jauh lebih baik walaupun telah berusaha sedaya upaya untuk membawa Indonesia kembali ke permainan.

“Tidak mudah lawan Bing Jiao kerana dia seorang pemain yang berpengalaman. Saya telah bincang dengan jurulatih strategi menentangnya namun akhirnya tidak berjaya. Bukan rezeki kami hari ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan