SUKAN > BERITA

SASC: BOYDE JARING GOL TERPANTAS, NEW ZEALAND ATASI KANADA 7-1

04/05/2024 08:57 PM

IPOH, 4 Mei (Bernama) -- Bekas pemain antarabangsa Australia Scott Boyde menjaringkan satu daripada gol terpantas dunia untuk membantu juara dua kali New Zealand memulakan kempen dengan kemenangan 7-1 mengatasi Kanada pada perlawanan pembukaan kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah (SASC) ke-30 di sini hari ini.

Pemain berusia 29 tahun yang beraksi bersama Australia sebanyak tujuh kali sebelum mewakili Black Sticks tahun lepas menyumbat gol pertama New Zealand selepas 17 saat perlawanan bermula, memukau penonton yang hadir di Stadium Hoki Azlan Shah.

Selain Boyde, rekod gol terpantas kurang daripada satu minit turut dilakukan pemain Pakistan Hanif Khan dan Steve Edwards dari New Zealand (11 saat), manakala pemain India Gurjant Singh dan Ajit Singh masing-masing menjaringkan gol selepas 13 dan 15 saat perlawanan bermula.

Pasukan di ranking ke-10 dunia dan satu-satunya pasukan yang akan beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 itu, memperoleh jaringan menerusi hatrik George Baker's pada minit ke-16, 42 dan 59 selain gol pada minit ke-26 dan 45 daripada Jake Smith.

Gol tunggal Kanada diperoleh menerusi Rowan Childs pada minit ke-46.

Boyde melengkapkan gol kemenangan pasukannya menerusi jaringan padang beberapa saat sebelum masa perlawanan tamat, menyaksikan beliau dinobatkan sebagai Man of the Match.

Menurut Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), seorang pemain boleh bertukar pasukan kebangsaan selepas bersama pasukan berkenaan selama tiga tahun.

Pada sidang media pascaperlawanan, ketua jurulatih New Zealand Greg Nicol berkata beliau tidak berpuas hati walaupun memenangi perlawanan kerana hanya berjaya menghasilkan satu gol menerusi pukulan sudut penalti berbanding 11 pukulan diperoleh pasukannya.

“Keadaan cuaca agak mencabar kerana panas. Kami berjaya menjaringkan gol sangat pantas tapi kemudian perlahankan rentak. Satu permulaan yang baik di kejohanan ini walaupun saya yakin kami mampu jaringkan lebih banyak gol.

“Jelas sekali, skuad muda yang masih dalam pembikinan tapi sedikit penyesuaian diperlukan, bukan kelemahan besar. Kita ada matlamat lebih besar di Olimpik Paris (pada Julai), cuba untuk letakkan standard dan lebih berdaya saing,” katanya.

Sementara itu Jepun yang menduduki ranking ke-16, mengejutkan juara tiga kali Korea Selatan 2-1, menyaksikan dua muka baharu daripada kedua-dua pasukan mencetak nama selaku penjaring.

Jepun mendahului pada minit ke 13 menerusi jaringan padang muka baharu Tsubasa Tanaka sebelum Shota Yamada menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-20 manakala pemain baharu Korea Selatan Lim Dohyun melengkapkan pukulan sudut penalti pada minit ke-52.

“Kami menyerang dan pada masa sama bertahan untuk mendapatkan tiga mata dengan barisan pemain muda dan berpengalaman. Bagaimanapun, saya mahu pemain lebih agresif dan mempamerkan permainan lebih baik pasukan hebat selepa sini,” katanya ketua jurulatih Jepun Yoshihiro Anai.

Yamada yang dinamakan Man of the Match, berharap dapat meneruskan rentak cemerlang mereka untuk mara ke pusingan akhir sekali gus membina momentum ke arah Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Esok, Jepun akan berdepan pasukan pilihan New Zealand manakala Korea Selatan menentang Pakistan. Kanada pula akan berdepan tuan rumah, Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan