SUKAN > BERITA

YIWEN SAMBAR TIKET KE KEJOHANAN SKUASY DUNIA, TUAH TAK BERPIHAK ADDEEN

21/04/2024 07:38 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Mimpi jadi kenyataan buat pemain wanita negara Chan Yiwen apabila berjaya mengesahkan slot ke Kejohanan Skuasy Dunia 2024 di Kaherah, Mesir, pada 8 dan 9 Mei ini selepas menjuarai pusingan kelayakan Zon Asia di sini, hari ini.

Pada final di Pusat Skuasy, Jalan Duta, di sini, Yiwen tidak berdepan kesukaran untuk menumbangkan rakan senegara K. Sehveetrraa 11-6, 11-3, 11-3 sekali gus mengubati kekecewaannya di kejohanan sama tahun lepas.

Pemain berusia 23 tahun itu berkata hasratnya untuk membuat penampilan sulung di pentas kejohanan dunia tahun lepas tidak tercapai selepas terkandas awal.

Saya berbangga kerana dapat mengawal tekanan dalam kejohanan ini kerana hanya ada satu slot (ke Kejohanan Dunia) dan saya sangat ingin menyertai rakan sepasukan yang layak lebih awal kerana tahun lalu saya terlepas hanya dengan satu langkah,” kata pemain kelahiran Kedah itu selepas perlawanan akhir itu.

Antara pencapaian terbaik Yiwen yang merupakan pemain ranking dunia ke-79 tahun ini adalah muncul juara Piala Cabaran PSA Hong Kong pada Feb lepas.

Dalam pada itu, saingan final kategori lelaki menyaksikan wakil negara Addeen Idrakie tumpas kepada pilihan pertama Ryunosuke Tsukue dari Jepun 9-11, 8-11, 3-11 sekali gus gagal melayakkan diri ke Kaherah.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Mejar (B) S. Maniam berkata seramai tujuh pemain akan menggalas cabaran Malaysia di kejohanan dunia itu.

Enam daripadanya merupakan pemain wanita diketuai pemenang pingat emas acara perseorangan wanita Sukan Asia 2022 S. Sivasangari; Aifa dan Aira Azman; Rachel Arnold, Ainaa Amani dan Yiwen.

Wakil tunggal Malaysia dalam kategori lelaki adalah pemenang emas acara perseorangan lelaki Sukan Asia 2022, Ng Eain Yow.

“ Yiwen pasti cukup gembira kerana tahun lalu dia dijadualkan pergi (kejohanan dunia) tetapi tewas pada pusingan awal, jadi ini adalah pencapaian berbaloi untuk dirinya. Dalam acara lelaki, pencapaian Addeen membersangsangkan kerana trerpaksa berkerja keras sepanjang kejohanan dan memberikan segala-galanya di pentas final.

“Tetapi hari ini Tsukue bermain dengan baik jadi dia berhak mendapatnya (slot kejohanan dunia). Secara keseluruhannya, kami amat berpuas hati dengan prestasi pemain,” kata Maniam.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan