SUKAN

KDA FC MOHON PENYOKONG BANTU PASUKAN

16/04/2024 07:15 PM

ALOR SETAR, 16 April (Bernama) -- Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memohon penyokong dan mana-mana pihak membantu pasukan itu melengkapkan jumlah wang yang diperlukan bagi membolehkan ia mengekalkan Lesen Kebangsaan untuk bertanding dalam Liga Super musim ini.

Pemilik KDA FC Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata setakat 3 petang ini, pihak pengurusan berjaya mengumpul 90 peratus daripada dana yang diperlukan bagi melunaskan baki 50 peratus tunggakan gaji untuk tujuan perlesenan Liga Bola Sepak Malaysia.

“Berkenaan liabiliti semasa KDA FC, kita sudah mencapai peringkat akhir penyelesaian tunggakan kewangan tahun 2023 dan penyelesaian penuh tunggakan sebelum 20 April ini.

“Jadi, kami memohon penyokong untuk bersama-sama membantu melengkapkan jumlah kewangan yang diperlukan sebelum tarikh yang telah ditetapkan melalui skim-skim yang akan ditawarkan seperti penjualan pas bermusim, kad keahlian, jersi pramusim dan beberapa produk lain,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata pihaknya yakin baki 10 peratus lagi mampu dicapai berikutan sokongan dan komitmen yang ditunjukkan oleh penyokong Sang Kenari ketika ini.

“Ada ramai penyokong yang mahu tolong, jadi kita buka ruang kepada mereka untuk isi kelompangan itu. Tetapi sekiranya jumlah itu gagal dicapai menjelang 20 April, kita ada pelan B, C, D dan seterusnya.

“Ada lebih 20,000 penyokong KDA FC, sekiranya setiap daripada mereka membeli produk kita sudah pasti dapat membantu kewangan kelab… kalau penyokong mahu lihat KDA FC lebih maju, bantu dan sokonglah semua usaha kami,” katanya.

Mohd Daud berkata pihak pengurusan KDA FC juga memutuskan untuk menaikkan harga tiket mulai perlawanan pramusim ini bagi membantu kewangan pasukan dan tiket bagi musim 2024/25 akan dinaikkan sebanyak RM5 iaitu kepada RM20 bagi Zon Terbuka, RM30 Zon Pavilion dan RM40 bagi Zon Grandstand.

Pas Bermusim Sang Kenari akan ditawarkan dengan harga lebih kompetitif daripada harga keseluruhan tiket perlawanan di Stadium Darul Aman iaitu RM150 bagi Zon Terbuka, RM250 Zon Pavilion dan RM380 Zon Grandstand yang melibatkan 12 perlawanan Liga Super sahaja.

Beliau berkata KDA FC juga mengalu-alukan sumbangan dan tajaan daripada pihak yang berminat menjalin kerjasama dengan kelab bagi musim 2024/25 namun ia perlu melalui saluran yang betul.

Sebelum ini, badan bebas First Instance Body (FIB) mengumumkan KDA FC dikenakan hukuman pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super 2024/25 dan denda RM50,000 berikutan kegagalan membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023.

Pengerusi FIB Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata KDA FC telah diberikan masa untuk menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji pada 30 Mac lepas.

Beliau berkata jika KDA FC gagal membuat pembayaran penuh tunggakan gaji itu atau mengemukakan bukti dokumen kewangan bagi menyelesaikannya pada 5 petang 20 April ini maka Lesen Kebangsaan kelab itu boleh ditarik balik dan ia tidak layak beraksi dalam saingan Liga Super 2024/25.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan