RENCANA

AMALAN TIDAK SELAMAT DI JALAN RAYA KEKAL PENYUMBANG UTAMA NAHAS – PAKAR

05/04/2024 10:44 AM

Oleh Muhammad Basir Roslan

Dalam tempoh beberapa hari lagi akan bermula pergerakan “balik kampung” bersempena dengan Aidilfitri yang dijangka disambut pada 10 April ini.

Keadaan ini bermakna berlaku pertambahan mendadak jumlah kenderaan di atas jalan yang turut bermaksud peningkatan risiko nahas jalan raya, khususnya kemalangan maut, seperti yang berlaku setiap kali masyarakat di negara ini menyambut perayaan utama.

Ada banyak faktor yang menyumbang kepada trend ini, namun punca utama adalah amalan tidak selamat di jalan raya seperti memandu secara berbahaya dan melebihi had laju yang ditetapkan, mengabaikan isyarat serta amaran papan tanda dan memandu dalam keadaan penat atau mengantuk. 

Kadar kemalangan jalan raya di Malaysia adalah antara yang tertinggi di Asia Tenggara, terutama ketika musim perayaan.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 12,407 kes kemalangan jalan raya dicatatkan sepanjang kempen keselamatan jalan raya atau Op Selamat yang dijalankan bersempena dengan Aidilfitri tahun lepas, iaitu meningkat 0.1 peratus atau 11 kes berbanding Op Selamat pada tahun sebelumnya yang merekodkan 12,396 kes.

 

ABAI ASPEK KESELAMATAN

 

Ketua Kumpulan Penyelidikan Pencegahan Kecederaan dan Promosi Keselamatan Putra - sebuah unit di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia - Prof Dr Kulanthayan KC Mani memberitahu Bernama, amalan tidak selamat di jalan raya kekal sebagai punca utama nahas jalan raya, khususnya kemalangan maut.

Katanya sains keselamatan di jalan raya jelas menunjukkan pemanduan pada kelajuan tinggi menyebabkan kadar kelajuan pelanggaran yang lebih tinggi, mengakibatkan kecederaan parah dan kematian.


Dr Kulanthayan KC Mani

Contohnya, pejalan kaki dan penunggang basikal yang dilanggar oleh kenderaan berkelajuan bawah 30 km/j,  ada peluang yang lebih tinggi untuk selamat sekalipun mengalami kecederaan. Pada kelajuan itu juga, penumpang kenderaan dilindungi oleh badan kenderaan. Akan tetapi, jika kenderaan dipandu dengan kelajuan 70 km/j atau lebih sebelum berlaku kemalangan, penumpang mungkin mengalami kecederaan yang lebih serius atau maut.

“Jika sebuah kenderaan berkelajuan lebih 70 km/j melanggar seseorang, impaknya bersamaan jatuh dari tingkat enam (sebuah bangunan), sementara kenderaan yang melanggar seseorang pada kelajuan 90 km/j, impaknya menyamai jatuh dari tingkat 10,” jelas beliau.   

Kulanthayan berkata peningkatan kelajuan sebanyak satu km/j akan meningkatkan kemungkinan mengalami kecederaan sebanyak tiga peratus dan risiko kematian sebanyak empat hingga lima peratus.


Tingkah laku jalan raya yang tidak selamat adalah punca utama kemalangan jalan raya yang boleh membawa kepada kematian.

“Justeru, mengurangkan kelajuan adalah langkah pencegahan paling berkesan dalam mencegah kecederaan dan kematian, dan pemandu perlu sentiasa mematuhi had laju untuk mengelakkan nahas jalan raya,” tegas beliau.

Beliau turut menasihati pemandu agar memastikan kenderaan mereka berada pada jarak yang selamat dari kenderaan lain agar mereka mempunyai masa dan ruang untuk membrek dengan selamat sekiranya berlaku sesuatu secara tiba-tiba.

“Ada dua perkara yang perlu diberi perhatian, iaitu masa tindak balas dan masa membrek. Masa tindak balas merujuk tempoh yang diambil oleh pemandu untuk menekan pedal brek sebelum pelanggaran berlaku, manakala masa membrek pula adalah tempoh yang diambil oleh kenderaan untuk berhenti sepenuhnya apabila pedal brek ditekan.

“Sebuah kenderaan yang dipandu pada kelajuan 50 km/j perlu bergerak sejauh 26 meter sebelum berhenti sepenuhnya, sementara kenderaan yang dipandu pada kelajuan 70 km/j pula perlukan ruang sejauh 37 meter untuk berhenti, dan jarak ini bertambah seiring peningkatan kelajuan,” katanya.

 

PASTIKAN CUKUP REHAT

 

Rehat mencukupi adalah penting bagi mereka yang mahu memandu jarak jauh.  Kulanthayan berkata mereka perlukan tidur selama enam hingga tujuh jam sehari dalam tempoh tiga ke empat hari sebelum memulakan perjalanan itu.

“Sekadar berehat sehari sebelum mulakan pemanduan adalah tidak memadai kerana hutang tidur yang terkumpul disebabkan oleh kurang tidur dalam tempoh dua hingga tiga hari sebelumnya, tidak dapat dilunaskan dengan hanya sehari tidur. Kualiti tidur itu juga penting,” ujar beliau.

Tambah beliau, antara isyarat jelas seseorang pemandu itu mengantuk atau mamai ialah tidak dapat mengekalkan kenderaan mereka di lorong sendiri atau apabila kenderaan dipandu memasuki lorong kenderaan lain. Isyarat lain termasuk terlepas atau terlupa susur keluar. 


Selain menggunakan tali pinggang keledar, orang ramai juga wajib membeli dan memasang kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan mereka.

Sambil menggesa pemandu memanfaatkan aplikasi pengesanan mengantuk mudah alih yang dapat memberi amaran sekiranya mereka mengantuk, beliau berkata amat penting bagi pemandu terbabit mencari dan berhenti di tempat yang selamat bagi membolehkan mereka tidur sekejap sekitar 20 minit sebelum meneruskan perjalanan.

Kulanthayan yang juga ahli tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Selangor, berkata memakai tali pinggang keledar juga dapat mengurangkan kemungkinan maut akibat kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya sebanyak 40 hingga 50 peratus.

“Pengendali bas juga harus menggalakkan penumpang mereka menggunakan tali pinggang keledar,” katanya, menambah satu lagi perkara yang sering diabaikan ialah penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak.

“Kerusi ini dapat mengurangkan kemungkinan kematian sebanyak 70 peratus bagi bayi, 54 peratus buat kanak-kanak berusia satu hingga empat tahun, dan 59 peratus untuk kanak-kanak berumur empat hingga tujuh tahun,” kata pakar keselamatan jalan raya itu.

 

TINGKATKAN PEMANTAUAN 

 

Dalam pada itu, Kulanthayan berkata pendekatan bersepadu dan baharu diperlukan bagi merevolusikan keselamatan di jalan raya dan mencegah kemalangan, kerana jalan raya digunakan oleh hampir setiap orang saban hari.

Sambil menggesa PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan meningkatkan usaha mengesan pelanggaran undang-undang jalan raya, beliau berkata ini dapat dilakukan dengan menggunakan dron serta menambah kamera perangkap laju serta kamera lampu merah.


Agensi penguatkuasa seperti polis dan JPJ dinasihatkan meningkatkan usaha mengesan pelanggaran undang-undang jalan raya.

 “Konsepnya mudah - peningkatan pemantauan dapat membantu mengawal sikap pengguna jalan raya dan memudahkan lagi penguatkuasaan undang-undang jalan raya. Orang ramai akan lebih berhati-hati dan tidak melanggar undang-undang jalan raya apabila mereka tahu mereka sedang diawasi oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau turut mengesyorkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam, yang menurut data polis merupakan pilihan paling selamat. 

Mengambil contoh data 2022, beliau berkata pada tahun itu, penunggang dan pembonceng motosikal adalah mereka yang paling ramai maut dalam nahas jalan raya, iaitu 67.45 peratus, diikuti pemandu dan penumpang kereta yang merangkumi 17.91 peratus serta pemandu dan penumpang bas sebanyak 0.44 peratus.   

“(Berdasarkan statistik ini) pengendali pengangkutan awam seperti bas dan kereta api wajar menawarkan tiket pada harga mampu milik (semasa musim perayaan) bagi menggalakkan lebih ramai yang menggunakan pengangkutan awam,” katanya.  

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan