RENCANA

USAHAWAN BUMIPUTERA PERLU KUASAI TEKNOLOGI, EKONOMI DIGITAL UNTUK PERKASA EKONOMI

02/04/2024 09:27 AM

Oleh Erda Khursyiah Basir

Usahawan bumiputera perlu segera menguasai kemahiran teknologi digital sekiranya mahu usaha untuk memperkasa kedudukan ekonomi mereka mencapai sasaran, demikian pandangan Pengerusi Dewan Muda, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Hisham Abdul Hamid.

Beliau menambah, pengadaptasian ekonomi digital dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) adalah antara cabaran utama yang perlu ditangani ke arah matlamat berkenaan.

“Ini bukan hanya soal memahami teknologi terkini, tetapi bagaimana mengaplikasikannya dalam aspek keusahawanan dan mampu berinovasi untuk mencipta nilai tambah dalam ekonomi baharu.

“Penting untuk menilai dan menyesuaikan program pemerkasaan ekonomi sedia ada berdasarkan keperluan semasa dan masa hadapan. Ini termasuklah memastikan program yang dijalankan relevan dengan trend ekonomi global dan teknologi baharu serta memfokuskan kepada pembangunan kemahiran keusahawanan dan inovasi khususnya dalam kalangan usahawan muda bumiputera,” katanya kepada Bernama baru-baru ini ketika diminta pandangan mengenai hasil Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024).

KEB 2024 yang berlangsung pada 29 Feb hingga 2 Mac lepas dengan memfokuskan kepada 10 kumpulan yang meliputi segenap aspek kehidupan bumiputera, dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Kementerian Ekonomi.

Hisham turut menggariskan peranan penting faktor sosioekonomi dalam menentukan keupayaan masyarakat usahawan bumiputera dalam era ekonomi digital.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“KEB 2024 menekankan kepentingan meningkatkan akses pendidikan berkualiti tinggi dan modal untuk usahawan muda bumiputera. Pendidikan berkualiti tidak hanya membuka peluang kerjaya tetapi turut memperkasa usahawan muda bumiputera menjadi inovatif. Akses yang lebih baik kepada modal akan memungkinkan mereka untuk mengembangkan idea perniagaan menjadi realiti.

“Kekangan kemahiran dan keupayaan teknikal menghalang usahawan muda bumiputera mengambil peluang dalam industri berinovasi tinggi. Justeru, meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan vokasional dalam bidang yang relevan dengan ekonomi masa depan adalah kuncinya,” katanya menambah, inisiatif itu perlu melibatkan kerjasama dengan pihak industri bagi memastikan kurikulum pendidikan sesuai dengan keperluan pasaran kerja.

Turut mengaitkan isu ketidaksamarataan dalam peluang perniagaan sering kali menjadi halangan bagi usahawan bumiputera, Hisham berkata, dalam konteks KEB 2024, terdapat keperluan bagi program yang membantu meningkatkan pemilikan harta dan sumber oleh usahawan muda bumiputera.

Perkara itu, katanya, termasuklah inisiatif pendidikan kewangan, peluang pelaburan dan akses kepada modal yang akan membantu mengurangkan jurang kekayaan dan memperkasa ekonomi mereka agar mampu memberi sumbangan yang lebih signifikan kepada ekonomi negara.

 

BUANG SIKAP TAKUT GAGAL

Berpendapat sikap ‘takut gagal’ antara cabaran budaya dan persepsi yang dihadapi oleh segelintir bumiputera dalam mengejar peluang ekonomi, Hisham berkata, naratif itu perlu segera diubah melalui pendidikan dan kesedaran.

Beliau berkata, antara langkah yang boleh diambil bagi memperkasa ekonomi bumiputera hasil dari KEB 2024 ialah membangunkan ekosistem yang menyokong inovasi dan keusahawanan usahawan muda, meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan teknikal, serta memperkuat jaringan mentorship.


Pengerusi Dewan Muda, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Hisham Abdul Hamid.

Selain itu, kerjasama antara kerajaan, industri, dan institusi pendidikan juga penting untuk menyediakan sumber dan peluang yang diperlukan bagi usahawan muda bumiputera.

“Pemerkasaan ekonomi bumiputera, khususnya melalui pendekatan yang diambil melalui KEB 2024 akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih dinamik dan inklusif. Kerajaan perlu terus memperkuat dasar yang menggalakkan akses kepada pendidikan, teknologi dan modal, serta mempromosikan kerjasama antara sektor awam dan swasta untuk mencapai matlamat bersama ini.

“Melalui pendekatan ini juga usahawan muda bumiputera tidak hanya bersedia menghadapi cabaran masa hadapan tetapi juga memainkan peranan penting dalam membentuk ekonomi Malaysia yang berdaya saing,” katanya.

 

AKSES PASARAN LEBIH LUAS

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Ts Azrul Zafri Azmi menekankan, cabaran global seperti perubahan dalam pasaran antarabangsa dan ledakan teknologi digital yang mempengaruhi sektor perniagaan memberi saingan sengit kepada usahawan bumiputera berikutan capaian yang lebih mudah kepada produk dan servis berskala global.

Perkara itu menuntut mereka yang terlibat agar sentiasa peka dan bersedia untuk berubah dari segi corak dan model perniagaan serta teknik pemasaran.

Penggunaan teknologi terkini dalam memperkasa ekonomi usahawan bumiputera dapat dilihat dari segi akses kepada pasaran yang lebih luas dengan menggunakan platform e-dagang dan perdagangan sosial.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Laporan Sesi Libat Urus Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) pada penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“Di samping itu, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) dan Analisis Data Raya bukan sahaja mampu meningkatkan keupayaan operasi perniagaan bahkan mengurangkan kos operasi, mempercepatkan output perniagaan dan meningkatkan keuntungan.

“Teknologi itu juga dapat meningkatkan inovasi produk dan servis sebagai contoh melalui data raya dan kecerdasan buatan sesebuah perniagaan dapat memahami keperluan pelanggan dengan lebih baik dan menyesuaikan penawaran mereka untuk memenuhi permintaan pasaran yang berubah-ubah.

“Melalui media sosial hari ini, pasaran bukan lagi menjadi satu masalah. Amat mudah bagi peniaga hari ini untuk mempromosi perniagaan mereka dengan kos yang munasabah. Melalui data daripada media sosial juga, peniaga dapat menganalisis data sikap pengguna dan seterusnya dapat mengadakan kempen pemasaran yang lebih peribadi dan fokus kepada sasaran pelanggan,” katanya.

Beliau menambah, teknologi digital juga menjadikan kolaborasi antara organisasi perniagaan dan negara menjadi lebih mudah dan usahawan bumiputera perlu mengambil peluang ini dalam memperluaskan jaringan dan rangkaian seperti pengedar, stokis dan juga wakil perniagaan mereka di lokasi yang lebih meluas.

Mengulas keberkesanan program latihan dan pendidikan khusus yang dibangunkan untuk meningkatkan kebolehan bumiputera dalam mengaplikasikan teknologi dalam perniagaan mereka, Azrul Zafri berkata, ramai peniaga bumiputera mampu memanfaatkannya dalam menguruskan perniagaan mereka.

“Ramai usahawan muda bumiputera hari ini sangat berjaya dalam perniagaan mereka dengan memanfaatkan teknologi dalam aktiviti pemasaran dan operasi perniagaan hasil pembelajaran secara formal mahupun tidak formal. Cuma jika mereka diberikan latihan secara formal, maka hala tuju mereka lebih tersusun dan matlamat lebih jelas. 

“Dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera melalui pelbagai peluang baru dalam perniagaan dengan berkembangnya teknologi seperti kecerdasan buatan dan kepelbagaian siber, lebih banyak kisah mengenai kejayaan perlu dikongsi agar golongan bumiputera lain cakna akan kepentingan dan kebaikan menggunakan teknologi baharu bagi meningkatkan prestasi perniagaan mereka,” katanya.

 

CABARAN KOS, KEMAHIRAN

Mengakui kekangan kos yang tinggi dan kurangnya pengetahuan dalam mengendalikan teknologi tertentu menjadi cabaran utama yang dihadapi oleh ramai usahawan bumiputera, beliau berkata jalinan kerjasama dengan syarikat berkaitan teknologi dapat membantu mengatasi isu tersebut.

Menurut beliau, pelan strategik yang dibangunkan oleh kerajaan atau badan industri sangat penting dalam menyediakan perniagaan bumiputera ke era digital.

“Keberhasilan pelan ini bergantung pada pelaksanaan yang efektif, pemantauan yang berterusan dan kemampuan untuk beradaptasi dengan perubahan pantas teknologi dan keperluan pasaran.

“Melalui pendekatan yang komprehensif dan kolaboratif, perniagaan bumiputera dapat diperkuat untuk memanfaatkan teknologi sehingga meningkatkan daya saing mereka dalam ekonomi global sebagai contoh kerajaan dan agensi di bawahnya seperti MARA memberikan insentif khas untuk usahawan bumiputera mengadaptasi teknologi dalam perniagaan mereka,” katanya. 


Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Ts Azrul Zafri Azmi.

Beliau pada masa sama merujuk kepada pelbagai inisiatif transformasi digital untuk perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang dilancarkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan keupayaan digital SME Bumiputera melalui latihan, bimbingan dan akses kepada kepenggunaan digital.

Selain itu katanya, pelaksanaan Pelan Jalur Lebar Negara (NBI) dan zon perniagaan berteknologi tinggi di beberapa kawasan bertujuan untuk meningkatkan akses kepada infrastruktur digital dan Internet berkelajuan tinggi, yang merupakan prasyarat penting untuk penggunaan teknologi dan IT dalam perniagaan.

“Pemerkasaan bumiputera dalam bidang teknologi dan IT dapat meningkatkan proses pengurusan dan kecekapan operasi perniagaan bumiputera secara signifikan yang seterusnya memberikan impak positif kepada ekonomi Malaysia secara keseluruhan.

“Melalui penerapan teknologi terkini seperti analisis data raya, kecerdasan buatan dan automasi, usahawan bumiputera juga dapat mengurangkan kos operasi perniagaan sekali gus meningkatkan kepuasan pelanggan. Perkara ini bukan sahaja dapat mengukuhkan kedudukan persaingan perniagaan bumiputera di pasaran global bahkan merangsang inovasi dan pertumbuhan ekonomi. 

“Integrasi teknologi dan IT dalam perniagaan bumiputera berpotensi mempercepatkan transformasi ekonomi digital Malaysia, memperluas peluang eksport dan mencipta peluang pekerjaan baru,” katanya menambah, sumbangan ini penting untuk kemakmuran dan kestabilan ekonomi negara.

 

RUANGAN SISI

Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang berlangsung pada 29 Feb hingga 2 Mac lepas bukan sahaja menjadi platform pelbagai pihak dari latar belakang berbeza berkongsi pandangan, bahkan menyuntik semangat baharu dalam agenda pemerkasaan ekonomi golongan itu.

Mengangkat dua objektif utama, KEB 2024 mencadangkan hala tuju serta pendekatan baharu dan penambahbaikan agenda pemerkasaan bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif, serta pendekatan baharu untuk mengukur tahap penyertaan dan kawalan ekonomi bumiputera yang lebih bermakna.

Sebanyak lebih 80 resolusi digariskan sebagai agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera hasil libat urus yang dijalankan beberapa bulan sebelum berlangsungnya kongres itu. 

Memfokuskan kepada 10 kumpulan yang meliputi segenap aspek kehidupan bumiputera, kongres anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Kementerian Ekonomi yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu berjaya menghimpunkan lebih 3,000 peserta termasuk wakil dari Dewan Perniagaan Melayu, Kadazan, Dusun, Iban dan Dayak serta wakil masyarakat Orang Asli.

Pada majlis penutupan rasmi KEB 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelbagai inisiatif baharu memperkasa ekonomi bumiputera antaranya termasuklah memperuntukkan dana RM1 bilion bagi melahirkan generasi baharu usahawan bumiputera dan penubuhan Tabung Wakaf MARA MADANI dengan geran peluncuran berjumlah RM100 juta dan sasaran dana terkumpul berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun. 

Menurut laporan Bernama pada 15 Mac lepas, sebanyak 74 resolusi dan 150 program yang digariskan melalui pembentangan 10 Kumpulan KEB 2024 telah dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Jawatankuasa Pemandu).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu berkata, resolusi dan program itu telah dirangkumkan di bawah Transformasi Ekonomi Bumiputera melalui tiga matlamat iaitu, keadilan sosioekonomi, kemampanan negara bangsa dan kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, ini termasuk cadangan Perbadanan Tanah Bumiputera, Tabung Wakaf Mara MADANI, Generasi Usahawan Bumiputera dan Pembangunan Tanah Rizab Melayu seperti dinyatakan dalam KEB 2024.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan