RENCANA

TUALA WANITA GUNA SEMULA BANTU ATASI KEMISKINAN HAID, JANA PENDAPATAN SAMPINGAN 

27/02/2024 09:34 AM

Oleh Hasnah Jusid

Menghasilkan tuala wanita guna semula bukan sahaja menambah koleksi jahitan Fadilah Ali tetapi dapat membantu mengatasi isu ‘kemiskinan haid’ dalam kalangan sesetengah wanita di negara ini.

Berpengalaman lebih 15 tahun sebagai tukang jahit pakaian tradisional dan moden bagi lelaki dan wanita, Fadilah mendapat idea itu sewaktu menghadiri dan melihat sendiri demonstrasi menjahit tuala wanita oleh sukarelawan Bidadari Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

‘Kemiskinan haid’ adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan kekurangan akses kepada produk kebersihan atau kemudahan yang mencukupi untuk wanita yang datang haid.

Bidadari Malaysia yang mengadakan program Jejalah Bidadari sempena cuti sekolah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, Selangor baru-baru ini giat memperjuangkan isu kemiskinan haid, pencegahan kanser dan menentang keganasan wanita, sejak lima tahun lepas. 

Menerusi demonstrasi yang anjurkan untuk penduduk di PPR itu, Fadilah berpeluang mengamati setiap langkah jahitan dan timbul hasrat untuk menjadikan tuala wanita guna semula sebagai ‘buah tangan’ baharunya memandangkan proses penghasilannya yang mudah dan tidak memerlukan modal yang besar.

“Selama ini kain perca saya jadikan ikat rambut dan beri secara percuma kepada pelanggan tetapi selepas ini bolehlah saya gunakan untuk buat tuala wanita guna semula sambil menjana pendapatan sampingan,” katanya kepada Bernama dan dia berjaya menjahit sendiri satu tuala wanita dalam tempoh 10 minit pada program itu.

 

LEBIH MURAH, SELAMAT

Fadilah menganggarkan dapat menghasilkan sekitar 10 tuala wanita guna semula dengan menggunakan satu meter kain, dengan harga jualan antara RM8 hingga RM10.

Pembungkusan yang lebih cantik juga dirancang dengan saiz serta ketebalan sesuai bagi memenuhi cita rasa dan kesesuaian anak muda dan remaja. 


Inisiatif memperkenalkan tuala wanita guna semula itu mendapat sambutan memberangsangkan.

“Sangat mudah. Insya-Allah saya sendiri pun akan cuba gunakan tuala wanita guna semula selepas ini sebab kena juga pakai sebelum nak jual. Saya pun akan ajar kaedah jahitan ini kepada warga PPR, mana tahu boleh dijual atau disumbang kepada mereka yang tidak mampu beli tuala wanita pakai buang,” katanya. 

Menggunakan kain flanel sebagai bahan utama selain kain kapas, kain baldu plastik, butang ketip dan velcro tape, kebanyakan tuala wanita guna semula ketika ini dibuat menggunakan fabrik bercorak dengan warna ceria serta mempunyai butang bagi mengelakkan ia beralih posisi ketika dipakai.

Bagi jururawat klinik swasta Azura Ibrahim, 43, isu melibatkan kebersihan dan rasa kurang selesa tidak pernah timbul sepanjang dua tahun menggunakan tuala wanita guna semula kerana ia boleh dicuci semula dengan bersih selain kain yang digunakan sangat lembut. 

Beliau yang juga sukarelawan Bidadari Malaysia berkata, dengan harga yang lebih murah, penggunaan tuala wanita guna semula lebih selamat tanpa bahan kimia berbanding penggunaan tuala wanita yang menggunakan bahan sintetik seperti plastik dan tidak mesra alam sekitar. 

Menurut Azura, berdasarkan kajian persatuan itu yang mengambil kira harga semasa, setiap wanita dianggar membelanjakan RM26 sebulan untuk tuala wanita pakai buang, bersamaan RM312 (satu tahun), RM3,120 (10 tahun) dan RM6,240 (20 tahun).

“Kos itu jauh lebih tinggi berbanding tuala wanita guna semula yang hanya memperuntukkan RM6 sehelai atau RM36 bagi enam helai, dan hanya pada bulan pertama pembelian dengan jangka hayatnya boleh digunakan sehingga tiga tahun.

“Antara kaedah mencuci tuala wanita guna semula ialah ia tidak boleh dicampurkan dengan pelembut atau peluntur bagi memastikan dapat menyerap cecair dengan baik dan tidak mudah rosak,” katanya.

 

KESEDARAN SEMAKIN MENINGKAT

Menurut laporan media sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Laporan Kajian Status Pengurusan Haid oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara tahun lepas (2023) menunjukkan, sebanyak 9.9 peratus daripada 130,000 pelajar perempuan mempunyai masalah mendapatkan produk pengurusan haid.

Sementara itu, Pengerusi Bidadari Malaysia Napsiah Khamis berkata, isu kemiskinan haid bukanlah suatu perkara baharu namun dianggap tabu yang kurang gemar dibincangkan dalam masyarakat walaupun hakikatnya terdapat pelajar yang sanggup ponteng sekolah kerana tidak mampu membeli tuala wanita. 


Fadilah Ali merancang untuk menambah koleksi jahitannya dengan menjual tuala wanita guna semula.

“Ada juga aduan sampai pelajar tak pergi sekolah dan ada yang pakai stokin, kain batik untuk dijadikan tuala wanita. Anak remaja ini malu, tak pergi sekolah, kita juga pergi ke gelandangan, tanya mereka… ada yang pergi tong sampah guna kain buruk dari tong sampah untuk buat tuala wanita.

“Jadi ini beri semangat untuk kenalkan benda ini (tuala wanita guna semula) kepada semua wanita, supaya bila mereka boleh jahit sendiri, mereka juga boleh bantu wanita lain sebenarnya,” katanya menambah, isu itu menjadi lebih kritikal ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan apabila ramai berhenti kerja dan mengalami masalah kewangan untuk membeli tuala wanita.

 

KECAMAN BUKAN PENGHALANG

Inisiatif memperkenalkan tuala wanita guna semula itu mendapat sambutan memberangsangkan apabila kira-kira 1,000 peserta diajar kaedah jahitan tuala wanita berkenaan menerusi Jelajah Bidadari di Kuala Lumpur, Kelantan, Terengganu dan Pahang. 

Berkongsi pengalaman jelajah Bidadari di kawasan pedalaman Orang Asli di Kelantan, Napsiah berkata, bagi golongan wanita yang tidak mahir menggunakan mesin jahit, mereka belajar menjahit tuala wanita itu dengan jahitan tangan serta dibantu sukarelawan Bidadari yang memberikan tunjuk ajar secara langsung. 

Meskipun berdepan pelbagai kecaman apabila ada pihak mempertikaikan yang isu ini bukanlah penting seperti isu harga beras, Napsiah berkata, perkara itu tidak pernah melunturkan semangatnya bahkan hasil usaha berterusan, kesedaran orang ramai semakin meningkat terutama golongan lelaki.


Sukarelawan Bidadari Malaysia menunjukkan demonstrasi jahitan tuala wanita guna semula kepada penduduk PPR Gombak Setia.

“Kami pernah dapat satu lori tuala wanita pakai buang percuma daripada individu lelaki, ada juga dari syarikat, ahli perniagaan dan organisasi yang menderma. Maksudnya kesedaran ada, jadi kita perlu promosi isu ini.

“Menariknya, ada pelajar universiti bawa isu ini dalam tesis dan kajian mereka. Malah di Universiti Kebangsaan Malaysia, selepas kita buat forum dengan mahasiswa mengenai isu ini, mereka sediakan satu tong besar untuk orang ramai yang nak derma tuala wanita,” katanya menambah, isu kemiskinan haid dianggap selesai sekiranya semua wanita mampu memiliki tuala wanita sama ada pakai buang mahupun guna semula dengan mudah

Pada masa yang sama, Napsiah berkata, setiap premis, syarikat atau organisasi mampu menyediakan tuala wanita percuma di tandas mereka di samping meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai isu ini.

“Di Taiwan dan Korea misalnya, mereka sudah mula beri satu hari cuti tanpa rekod bagi wanita yang alami senggugut bagi membantu meningkatkan martabat wanita di negara itu. Di Malaysia pun sudah ada syarikat yang mulakan inisiatif sebegini, itu kesedaran yang kita nak,” katanya.

Napsiah berkata, pihaknya merancang membuat penghantaran pertama tuala wanita guna semula ke Kenya selepas Hari Raya Aidilfitri, negara yang lebih 50 peratus golongan wanitanya mengalami kemiskinan haid dan inisiatif itu turut melibatkan kerjasama NGO berkaitan wanita di negara berkenaan. 

Kesemua tuala wanita yang akan di hantar ke negara itu dikumpulkan melalui peserta yang mempelajari kaedah jahitan itu daripada Bidadari Malaysia dan secara sukarela membantu kaum hawa di Kenya yang berdepan masalah tersebut sejak sekian lama. 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan