RENCANA

ZAKAT WAKALAH BANTU PENIAGA PKS BANGKIT PASCA PANDEMIK

11/08/2022 09:15 AM

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LANGAT (Bernama) -- Meskipun melalui episod duka dibuang kerja oleh kilang perabot, tempat beliau mencari rezeki dan menimba ilmu dalam bidang pertukangan selama kira-kira lima tahun, MD Erwan Tini, 40, tidak patah semangat.

Berniaga di pasar malam dan membuat katering untuk kenduri kahwin adalah antara usaha yang dilakukannya untuk kelangsungan hidup sehinggalah beliau berjaya membuka bengkel perabot pada tahun 2016.

Bengkel Anai-anai Craft, usaha sama dengan dua orang rakannya, Azhari bin Basiran dan Saufi Azhar bin Maiswan mendapat permintaan tinggi dan semakin dikenali penduduk setempat di sekitar Kuala Langat dan tempat lain di Selangor.


Antara contoh perabot yang dihasilkan Anai-anai Craft dengan menggunakan kayu import yang berkualiti tinggi. Kredit gambar MD Erwan Tini.

“Kami mementingkan faktor kualiti untuk perabot yang dihasilkan selain berupaya tahan lama dan mempunyai keunikan yang tersendiri. 

“Buat sementara, perusahaan perabot kami di buat di bengkel terletak di bawah rumah warisan keluarga saya di Lot 1625 Jalan Manggis, Batu 9, Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang , ” katanya yang bertanggungjawab menjaga kawalan kualiti sewaktu bekerja di kilang perabot, kepada Bernama baru-baru ini.

 

KUALITI KAYU JADI KEUTAMAAN


Anai-anai Craft menerima banyak tempahan perabot daripada penduduk sekitar Kuala Langat dan daerah berdekatan, dengan hasil pendapatan bengkel mencecah sekitar RM10,000 sebulan. Kredit gambar Muhammad Basir Roslan

“Di bengkel kami, kami tidak guna sebarangan kayu kerana amat mementingkan keutuhan dan ketahanan perabot yang dihasilkan. Untuk itu, kami memilih untuk menggunakan kayu palet jenis Pine yang diimport dari benua beriklim sejuk seperti Amerika Selatan dan Eropah. Kayu ini memang agak mahal harganya namun kualitinya bertaraf dunia.

“Selain kayu Pine, kami juga menggunakan kayu getah tempatan berkualiti tinggi dan disalut dengan lapisan plastik Formica yang juga diimport dari negara luar, ” katanya.

Antara produk yang dihasilkan di bengkel Anai-anai Craft  dan menerima tempahan berulang ialah kabinet fail serta pemasangan set perabot lengkap di kedai gunting rambut yang merangkumi kabinet perkakas, meja dan kaunter pembayaran.

Perabot lain yang turut mendapat tempahan ialah meja kopi, kabinet dapur, rak, serta set meja dan kerusi ruang tamu.

Mengimbau cabaran yang terpaksa dihadapi ketika pandemik COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata, banyak tempahan perabot tidak dapat disiapkan kerana kayu yang ditempah dari luar tidak dapat dibawa masuk.

Terdapat juga kes beberapa orang pelanggan membatalkan tempahan kerana tidak mahu mengambil risiko perabot tidak sempat disiapkan mengikut masa ditetapkan.

“Ketika pandemik melanda, tempahan perabot terjejas teruk.  Ada perabot yang tidak dapat disiapkan kerana kayu palet sedia ada tidak mencukupi manakala kayu tambahan tidak dapat dihantar oleh syarikat penghantaran sehingga memaksa kami memulangkan kembali duit deposit beberapa orang pelanggan.

“Perniagaan memang merudum ketika itu... kami hanya mampu menyiapkan mana-mana perabot yang sempat dan menjualnya pada harga mampu milik kepada penduduk sekitar,” katanya.

 

ZAKAT WAKALAH BERI SINAR


Antara sumbangan mesin yang diterima Anai-anai Craft menerusi program Zakat Wakalah edotco-ABIM berbentuk mesin penggerudian bangku, pemampat udara dan penggilap pelbagai guna dengan keseluruhan kos RM2,410. Kredit gambar Muhammad Basir Roslan.

Bengkel Anai-anai Craft adalah antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dipilih untuk mendapat bantuan perniagaan menerusi program Zakat Wakalah yang digerakkan syarikat penyedia telekomunikasi edotco Malaysia Sdn Bhd bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Zakat Wakalah merujuk kepada program dasar pengembalian wang zakat kepada asnaf yang layak bertujuan untuk membantu asnaf dalam bidang perniagaan dengan cara membelikan barang keperluan perniagaan mereka.

Menurut MD Erwan, pihaknya menerima sumbangan pada April 2022 terdiri daripada beberapa buah mesin seperti penggerudian bangku, pemampat udara dan penggilap pelbagai guna dengan keseluruhan kos RM2,410 pada tahun pertama program itu dilaksanakan (2021).

“Sebelum adanya mesin tersebut, bengkel saya hanya menggunakan mesin lama sedia ada, dengan proses menyiapkan sesebuah perabot biasanya memakan masa hampir dua minggu. Kini kami mampu menyiapkannya dalam tempoh tiga ke empat hari sahaja.

“Pendapatan bulanan bengkel juga menunjukkan perkembangan positif kerana lebih banyak perabot dapat dihasilkan dalam tempoh yang singkat, di samping banyak tempahan yang diterima. Kini bengkel kami boleh mencapai hasil pendapatan sekitar RM10,000 sebulan,” katanya menzahirkan rasa syukur.

 

PERNIAGAAN IKAN MENINGKAT SELEPAS TERIMA BANTUAN ZAKAT WAKALAH


Peniaga ikan di Sijangkang, Saidi Omar berkata beliau memanfaatkan bantuan program Zakat Wakalah berupa peti penyejuk sebagai ruang tambahan untuk menyimpan ikan dan sayur-sayuran.

Seorang lagi penerima Zakat Wakalah ialah Saidi Omar yang memberitahu Bernama, beliau berniaga menjual ikan secara kecil-kecilan untuk menyara kehidupan keluarganya.

Namun, perniagaan ikan yang diusahakannya kini mula menunjukkan peningkatan hasil jualan selepas menerima bantuan menerusi program berkenaan sekitar April 2022.

“Jika sebelum ini, pendapatan bulanan berniaga ikan sekitar RM500, itu belum dikira banyak kerugian kerana ada ikan yang membusuk dan tidak dapat dijual. Namun melalui bantuan zakat ini iaitu sebuah peti sejuk, saya memanfaatkannya sebagai ruang tambahan untuk menyimpan ikan dan sayur-sayuran. Kini pendapatan saya boleh mencecah RM900 hasil bantuan zakat ini.

“Saya rasa amat bersyukur kerana kini kehidupan saya semakin baik. Sebelum ini saya bekerja sebagai pemandu lori namun terpaksa berhenti akibat penyakit saraf tunjang,” katanya menambah beliau turut dibantu anaknya, Syaiful Nazmi, 17, yang masih bersekolah.

Memandangkan pergerakannya terbatas akibat sakit saraf tunjang, beliau membuka gerai kecil di hadapan rumahnya yang terletak di Jalan Pisang, Kampung Sijangkang dan antara ikan yang dijual seperti ikan, tenggiri, parang, pari, kerisik, pelaling dan cencaru.

Beliau juga menerima pesanan menerusi Whatsapp dan membuat penghantaran dan bayaran tunai dibuat semasa penghantaran.

 

MANFAAT JANGKA PANJANG


Presiden ABIM Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Menurut Presiden ABIM Muhammad Faisal Abdul Aziz, program Zakat Wakalah diwujudkan atas kesedaran untuk membantu golongan asnaf keluar daripada lingkaran kemiskinan.

“Kita banyak membantu asnaf dalam bentuk pemberian barang makanan. Tapi cara itu didapati tak dapat menyelesaikan masalah mereka untuk jangka masa panjang dalam konteks mengeluarkan mereka daripada taraf hidup sedia ada,” katanya.

Beliau menambah, pelaksanaan program pada kali ini melibatkan tiga fasa iaitu saringan, latihan dan serahan.

Fasa saringan dilakukan bagi mengumpul data golongan asnaf yang memiliki perniagaan kecil melibatkan beberapa negeri termasuk Selangor dan Perak, manakala fasa latihan memerlukan peserta yang terpilih untuk mengikuti latihan secara dalam talian mengenai etika keusahawanan dan pengurusan kewangan dalam perniagaan selama dua hari.

“Bagi fasa serahan pula, ABIM dan edotco menyerahkan barangan perniagaan yang diperlukan peserta bagi membantu mereka terus memajukan perniagaan,” katanya sambil berharap penerima Zakat Wakalah dapat memanfaatkan bantuan yang diterima.

Ketua Komunikasi Korporat edotco Noreen Sabrina Mohd Noor pula berkata, bantuan secara berterusan adalah perlu agar lebih ramai pihak dapat terlibat mewujudkan dana bantuan berbentuk Zakat Wakalah bagi membantu PKS yang terjejas akibat pandemik COVID-19.


Ketua Komunikasi Korporat edotco Noreen Sabrina Mohd Noor

Untuk kerjasama dengan ABIM bagi tahun kedua pelaksanaan program berkenaan, edotco menyumbang dana zakat sebanyak RM81,000, dengan 28 pemilik PKS di sekitar Lembah Klang, menerima RM3,000 setiap seorang.

“Kami ingin membantu pemilik perniagaan PKS yang terjejas dengan menyediakan bantuan peralatan dan mesin yang diperlukan serta sokongan latihan perniagaan.

“Lazimnya mereka ini amat memerlukan mesin baharu yang lebih moden dan berteknologi tinggi memandangkan masih banyak perniagaan kecil di Malaysia yang bergelut untuk kembali pulih selepas negara memasuki fasa peralihan ke endemik,” katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan