RENCANA

BERMULA DENGAN "KETAGIHAN", KINI KEREPEK NGAKU JADI SUMBER PENDAPATAN

28/01/2022 09:09 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA (Bernama) --  Keunikan rasa kerepek ngaku atau arrowhead yang berlemak mampu membuatkan mereka yang pertama kali mencuba jajan itu jatuh cinta dan "ketagih” untuk terus menikmatinya.

Hanya didapati ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina, kerepek ngaku yang turut dipanggil sengkuang cina adalah antara juadah wajib kaum Tionghoa ketika sambutan itu, justeru tidak hairanlah snek berkenaan masih kurang dikenali masyarakat Melayu.

Menyedari potensi pasaran kudapan berkenaan dalam kalangan komuniti Islam,  Nurul Farah Hamizah, 27, memutuskan untuk membuat dan menjual kerepek yang menjadi kegemarannya itu.


Keunikan rasa kerepek ngaku atau arrowhead yang berlemak mampu membuatkan mereka yang pertama kali mencuba jajan itu jatuh cinta dan "ketagih” untuk terus menikmatinya. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

"Rasa ingin tahu saya tentang rasa kerepek ini tercetus selepas melihat iklan dalam media sosial pada 2017. Ketika itu saya sedang hamil anak pertama dan jadi mengidam untuk merasa kerepek tersebut,” ceritanya kepada Bernama.

Menurutnya, selepas pertama kali mencuba dia terus terpikat, namun disebabkan harga yang agak mahal iaitu boleh mencecah RM20 untuk 200 gram, dia memutuskan membuat sendiri snek itu dengan belajar daripada video yang banyak dikongsikan di laman sosial.

 

HANYA SETAHUN SEKALI


Nurul Farah Hamizah, Usahawan Kerepek Ngaku. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ujar Nurul Farah lagi, dia mula menjual kerepek itu pada 2018 dan menerima sambutan yang amat menggalakkan, khususnya daripada orang Melayu.

"Tidak sangka rasa kerepek ngaku ini diterima baik oleh orang Melayu, mungkin kerana rasa lemak-lemaknya yang lain daripada kerepek ubi biasa. Malah, ramai yang mula bertanya tentang kerepek ini selepas Tahun Baharu Cina, namun saya jelaskan ubi ini hanya ada semasa raya Cina, iaitu setahun sekali,” katanya yang menggunakan platform perniagaan dalam talian untuk memasarkan kerepek ngakunya.


Walaupun harga ubi ngaku yang kian meningkat, ia tidak mematah semangat Nurul Farah Hamizah untuk terus membuat kerepek pada tahun ini yang merupakan tahun keempat dan kekal mendapat sambutan pelanggan. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

 Menurut wanita itu, harga arrowhead mentah di pasaran boleh mencecah RM10 sekilogram dan dia menjual kerepek tersebut pada harga RM30 untuk balang bersaiz 450 gram.

"Selain harga sengkuang cina ini yang agak mahal, proses membuat kerepek juga renyah,” jelasnya, menambah pada tahun lepas dia berjaya menjual hampir 200 balang kerepek ngaku menggunakan 170 kg ubi berkenaan.

 

KUPAS, SAGAT DAN GORENG


Nurul Farah Hamizah terpikat pada keenakan kerepek ngaku apabila pertama kali merasai sendiri pada 2017 bertekad untuk membuat sendiri kerepek berkenaan kerana harga agak mahal berbanding kerepek lain. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bercerita tentang proses membuat kerepek itu, Nurul Farah berkata ubi perlu dikupas sebelum disagat terus ke dalam kuali berisi minyak yang sudah panas.

“Bayangkan, untuk mengupas 10 kg ngaku saya ambil masa tiga jam, dan untuk menggoreng pula lima jam. Ini kerana proses menggoreng perlu dilakukan secara hati-hati dengan api yang perlahan kerana ubi ini jenis berair dan mengambil masa untuk benar-benar garing. Kena api perlahan agar kerepek tidak hangus dan warna pula kuning keemasan,” jelasnya dan mengakui pernah melecur terkena percikan minyak panas.

Menurut wanita itu lagi, pada peringkat awal dia mencampurkan garam pada kerepek namun pemerhatiannya mendapati kaum Cina tidak berbuat demikian, sebaliknya digoreng begitu sahaja.


Ubi ngaku atau arrowhead perlu dikupas sebelum disagat terus ke dalam kuali berisi minyak yang sudah panas. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Saya cuba buat begitu dan bila diberi kepada jiran-jiran, mereka kata mereka lebih gemar kerepek tanpa garam sebab rasa lemak ngaku yang lebih asli,” ujarnya.

Kongsi ibu kepada dua cahaya mata itu dia juga bertuah kerana suaminya Ahmad Munzir Shahril, 41, yang juga seorang peniaga, banyak membantunya dari segi strategi perniagaan selain turut "mengkritik” kerepek yang dihasilkan.

"Saya akan tambah baik berdasarkan komen suami kerana dia berniaga cakoi, jadi dia lebih tahu cita rasa pelanggan,” kata Nurul Farah yang telah melakukan persediaan awal untuk menyediakan kerepek itu bersempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.

 

ARROWHEAD DAN TAHUN BAHARU CINA


Proses menggoreng memerlukan tahap kesabaran yang tinggi kerana buah ini basah dan memerlukan masa untuk airnya kering. Disebabkan hirisan kerepek perlu nipis maka kawalan api penting untuk memastikan tidak hangus. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Arrowhead merupakan sejenis tumbuhan akuatik bermusim yang hanya boleh ditemukan semasa perayaan Tahun Baharu Cina. Ubinya berbentuk seakan bawang dan bersaiz kecil, sementara isi pula berwarna putih.

Bagi masyarakat Cina, ubi ngaku atau arrowhead atau sengkuang cina ini melambangkan kemajuan yang berterusan kerana daunnya yang seakan pokok bunga lili itu tumbuh menegak ke langit.

Justeru kata mereka, sambutan Tahun Baharu Cina tidak akan lengkap tanpa kerepek ngaku ini.

Lazimnya, sengkuang cina yang ada di pasaran negara ini diimport dari China.

 

 

BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan