RENCANA

DPN 2020-2030 DIHARAP KEMBALI PULIH TENAGA KERJA SEKTOR PELANCONGAN

13/01/2021 08:55 PM

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 diharap dapat memacu sektor pelancongan ke tahap yang lebih baik dalam jangka masa panjang lebih-lebih lagi pada pasca krisis pandemik COVID-19.

Walaupun pelancongan domestik dilihat kembali menunjukkan perkembangan positif apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun sehingga 31 Dis 2020, namun dengan peningkatan kes harian baharu COVID-19 kebelakangan ini yang kekal mencatat empat digit, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. 

Malaysia mula merekodkan kes harian empat digit COVID-19 pada 24 Okt lepas dengan catatan 1,228 kes dan bermula penghujung Nov 2020, fenomena kes harian empat digit direkodkan setiap hari sehinggalah rekod tertinggi yang dilaporkan pada 7 Jan lepas, iaitu sebanyak 3,027 kes.


Suasana lengang di pekarangan Bangunan Sultan Abdul Samad selepas dikawal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Susulan pertambahan kes yang semakin membimbangkan, kerajaan semalam (11 Jan) memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bermula jam 12.01 tengah malam, Rabu (esok) sehingga 26 Jan nanti.

Perintah ini melibatkan tiga peringkat pelaksanaan; PKP bagi enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah, PKP Bersyarat (PKPB) ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala PKPP bagi negeri Perlis dan Sarawak.

 

PLATFORM PERSEDIAAN AWAL


Deretan bas persiaran tersusun di parkir di Terminal Bersepadu Selatan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Agensi pelancongan, sektor perhotelan dan syarikat pengangkutan adalah antara yang terjejas apabila terpaksa menghentikan operasi buat sementara ketika pelaksanaan PKP sebelum ini yang dilaksanakan pada 18 Mac sehinggalah kerajaan secara perlahan-lahan membenarkan sektor ekonomi tertentu kembali beroperasi ketika PKPB dilaksanakan pada 4 Mei 2020. 

Kesan daripada PKP sebelum ini juga, ramai yang hilang pekerjaan, diberikan cuti tanpa gaji malah banyak syarikat dan perusahaan terpaksa akur ‘gulung tikar’ akibat masalah ekonomi yang dihadapi.

Pekerja hotel, kakitangan syarikat penerbangan, pemandu bas dan pelancong adalah antara yang 'direhatkan' secara ‘besar-besaran’ sehinggakan ada terpaksa ‘terjun’ ke bidang lain seperti membuka gerai burger dan berniaga secara dalam talian bagi meneruskan kelangsungan hidup. 


Datuk Abdul Halim Mansor, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). mtuc.org.my

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor pada 31 Mei lepas dilaporkan berkata, pekerja-pekerja hotel adalah antara yang paling teruk terjejas dengan ada dipotong gaji, dipaksa bercuti tanpa gaji, dipaksa menggunakan cuti tahunan dan lebih teruk lagi terus dibuang kerja.

Beliau difahamkan lebih 30,000 orang di dalam industri perhotelan di seluruh negara hilang pekerjaan, lebih 10,000 dicutikan tanpa gaji dan lebih 6,000 pekerja dipotong gaji ekoran aktiviti perniagaan industri yang menguncup.


Emmy Suraya Hussein, Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (Mybha). thestar.com.my

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (Mybha), Emmy Suraya Hussein berkata walaupun tidak dapat meramalkan apa yang bakal berlaku terhadap industri pelancongan selepas ini khususnya dalam bidang perhotelan, namun DPN ibarat platform persediaan awal kepada pemain industri untuk kembali ‘bangkit’ memulihkan keadaan mereka. 

"Sekarang susah kita nak menjangkakan kerana apa sahaja boleh berlaku... kita kalau boleh memang nak ‘bangunkan’ semula industri pelancongan kerana selepas fasa PKP, bukan mudah untuk industri perhotelan kembali pulih.

"Setiap pemain industri juga tidak boleh mengharapkan 100 peratus kepada kerajaan. Kita perlu sentiasa bersiap-sedia dan bekerjasama menghadapi sebarang kemungkinan kerana kita sudah pernah melalui situasi mencabar semasa PKP sebelum ini,” katanya kepada Bernama. 

Berharap agar kerajaan negeri dan pusat memainkan peranan penting dalam membantu menaik taraf kemudahan dan kawasan tumpuan pelancong terutama hotel-hotel bajet yang menjadi pilihan kebanyakan pelancong tempatan, beliau berkata inisiatif itu dapat menarik perhatian sekaligus mengembangkan aktiviti pelancongan domestik. 

Tambahnya, sejak PKP sehingga kini, sebanyak 20 peratus daripada kira-kira 2,300 buah hotel bajet di seluruh negara terjejas teruk sehingga terpaksa menghentikan operasi buat sementara malah ada yang terus ditutup. 

Kebanyakan hotel bagaimanapun kini kembali mengambil pekerja mengikut keperluan di samping faktor kos menjadi pertimbangan utama. 

“Ramai pekerja dan kakitangan hotel kini perlu melakukan pelbagai tugas dalam satu masa. Tindakan menggaji semula pekerja (tidak kira pekerja lama atau baharu) sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang kehilangan pekerjaan untuk kembali bekerja dan mempunyai pendapatan tetap.

“Pada masa yang sama kita juga perlu maklum bahawa pengusaha hotel kini menjalankan perniagaan lebih kepada untuk mengekalkan operasi berbanding mengaut keuntungan. Banyak hotel yang menawarkan harga atau pakej yang jauh lebih murah berbanding sebelum krisis COVID-19 ini melanda negara,” katanya.

 

MANFAAT SEBAIKNYA


Mohamed Kaharrudin Salleh (kiri), Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (PEMBAWA). --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (PEMBAWA), Mohamed Kaharrudin Salleh berkata sejak 7 Dis lepas sehingga kini, permintaan tiket bas untuk merentas negeri meningkat sehingga 30 peratus berbanding jualan ketika PKP. 

"Ramai pemandu bas yang sebelum ini terpaksa 'direhatkan' dan menjadi pemandu e-hailing buat sementara sudah dipanggil kembali untuk bertugas malah ada syarikat-syarikat bas yang mengambil pemandu baharu. 

"Apabila ada ‘pergerakan’ (dibenarkan) sudah tentu ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung atau bercuti dalam negeri jadi ramai yang akan membeli tiket bas sekali gus mengelak kerugian seperti yang perlu ditanggung semasa tempoh PKP. 

"Sungguh pun begitu, prosedur operasi standard (SOP) perlu sentiasa dititikberatkan. Pihak kami sebagai contoh perlu memastikan jarak tempat duduk antara penumpang sentiasa dijaga di samping setiap pemandu dan penumpang perlu memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman," katanya. 

Berharap agar DPN mampu ‘memulihkan’ kerugian yang ditanggung sebelum ini akibat bas-bas yang ‘tidak bergerak’ sepanjang PKP, beliau berkata ketika musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri yang lepas pengusaha bas terpaksa menanggung bebanan kos ansuran bulanan 737 bas ekspres dan membayar gaji 3,000 orang pekerja kira-kira sebanyak RM60 juta sebulan. 

"Semoga pelan 10 tahun ini akan dimanfaatkan oleh pemain industri pelancongan dan pengangkutan sekali gus memulihkan operasi seperti mana sebelum pandemik COVID-19 melanda negara,” katanya sambil berharap agar pekerja industri berkenaan tidak sewenang-wenangnya diberhentikan bagi mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan mereka. 

 

RUANGAN SISI

DPN 2020-2030


Barisan beca Melaka dengan pelbagai hiasan berasaskan watak cereka barat menunggu pelanggan pelancong asing serta tempatan di Bandar Hilir. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Anggaran jumlah kerugian industri pelancongan negara pada tahun 2020 adalah melebihi RM100 bilion.

Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO) meramalkan pemulihan sektor pelancongan global dijangka akan mengambil masa selama dua hingga empat tahun manakala Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) memaklumkan negara memerlukan sekurang-kurangnya empat tahun untuk memulihkan semula industri ini. 

DPN yang dilancarkan pada 23 Disember lepas bermatlamat menjamin kelangsungan industri pelancongan negara serta kembali menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terpilih di peringkat global.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap melancarkan dasar berkenaan secara dalam talian berkata dasar itu akan dilaksanakan menerusi enam teras strategik utama iaitu transformasi tadbir urus, mewujudkan zon pelaburan pelancongan yang inklusif dan menggiatkan digitalisasi pelancongan.

Teras lain adalah memperkaya pengalaman dan kepuasan pelancong, memperkukuh komitmen terhadap pelancongan lestari dan meningkatkan kapasiti modal insan dalam semua subsektor pelancongan.

 

Disunting oleh Erda Khursyiah Basir

BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan