RENCANA

ADGMIN-ADGSOM: MESYUARAT BINCANG AGENDA PEMBANGUNAN ICT-ASEAN

30/12/2020 04:36 PM

Oleh Shanika Abdullatib

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Biarpun Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Digital ASEAN bakal diadakan secara sesi tertutup, persiapan mesyuarat peringkat dasar bagi sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan digital di peringkat ASEAN tetap dilakukan secara rapi. 

ADGMIN1 yang akan berlangsung selama dua hari bermula 21 Januari 2021 adalah mesyuarat tahunan para menteri ASEAN yang bertanggungjawab bagi teknologi maklumat dan telekomunikasi untuk membincangkan isu semasa dan trend, serta hala tuju agenda Pembangunan ICT ASEAN.

Selain melakar sejarah sebagai tuan rumah pertama bagi kedua-dua mesyuarat ini setelah ia dinamakan semula sebagai ADGSOM dan ADGMIN, buat julung kalinya juga ia dilakukan secara digital atau maya memandangkan dunia masih berdepan dengan pandemik COVID-19 yang mengehadkan perjalanan merentas sempadan.


Mano Verabathran, Setiausaha Bahagian Antarabangsa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM). -- Gambar ihsan Bahagian Antarabangsa, KKMM

Menurut Setiausaha Bahagian Antarabangsa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Mano Verabathran, bagi menjayakan mesyuarat yang dijangka dihadiri 10 orang menteri negara ASEAN yang bertanggungjawab untuk Telekomunikasi dan ICT, KKMM menggembleng tenaga kerja pelbagai pihak dan agensi.

“Antara yang terlibat adalah daripada bahagian serta agensi dalaman KKMM termasuk agensi di bawah Kementerian ini seperti Jabatan Penerangan, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), RTM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) . 

“Mereka ini terlibat dalam jawatankuasa bagi membantu dalam menguruskan keperluan mesyuarat ini. Malah kos mesyuarat pada kali ini juga dapat dijimatkan kerana ia dilaksanakan secara maya,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Beliau menambah, selain kehadiran menteri, delegasi turut  membawa wakil dari negara atau pertubuhan masing-masing termasuklah 10 Pegawai Kanan Negara ASEAN di peringkat Ketua Setiausaha yang bertanggungjawab untuk Telekomunikasi dan ICT manakala lapan peserta dari negara Rakan Dialog iaitu Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, India, International Telecommunications Union (ITU) dari Kesatuan Eropah (EU).

 

DILANGSUNG SECARA VIRTUAL


Para Pemimpin Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) bergambar secara maya selepas menandatangani Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada acara yang dihoskan secara maya di Hanoi. -- Gambar ihsan Lukas Coch/AAP/dpa

Mengulas mengenai persiapan, Mano Verabathran menjelaskan sekretariat Mesyuarat ADGMIN dan ADGSOM komited untuk memastikan kesemua persiapan venue diteruskan dan memenuhi tahap piawaian yang ditetapkan, Prosedur Operasi Standard (SOP) pasca COVID-19.

“Semuanya akan dilangsungkan secara virtual. Tiada masalah besar memandangkan perbezaaan masa di rantau Asia Tenggara hanya antara satu jam lebih awal atau satu jam lebih lewat dengan masa di Malaysia.

“Bagi Rakan Dialog, Malaysia akan cuba menguruskan masa mesyuarat sebaik mungkin dengan persetujuan mereka,” jelas Mano Verabathran.  

Berkongsi bagaimana tercetusnya idea penubuhan ADGMIN dan ADGSOM,  beliau menceritakan kedua-dua mesyuarat ini pada asalnya dikenali sebagai Mesyuarat Menteri-Menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN (ASEAN TELMIN) dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN (ASEAN TELSOM).

“Idea penubuhan ASEAN TELMIN dan ASEAN TELSOM tercetus semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat, Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC TELMIN) di Cancun, Mexico pada 24 hingga 26 Mei 2000.

“Hasil daripada perbincangan tersebut, Mesyuarat ASEAN TELSOM yang pertama diadakan pada bulan Oktober 2000 di Brunei Darussalam sebagai persiapan kepada Mesyuarat ASEAN TELMIN yang diadakan buat julung kalinya pada 13 hingga 14 Julai 2001 di Kuala Lumpur,” katanya.

Rentetan kesepakatan tersebut juga kedua-dua mesyuarat ini diterima sebagai salah satu badan ASEAN dan disokong penuh dalam urusan mesyuaratnya oleh Sekretariat ASEAN (ASEAN Secretariat – ASEC).

Justeru, antara persetujuan dicapai adalah supaya Mesyuarat TELMIN dan TELSOM diadakan sekurang-kurangnya sekali setiap tahun berdasarkan pusingan giliran dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Pada TELMIN 19 di Vientiane, Laos, para menteri bersetuju agar TELMIN dinamakan semula sebagai ADGMIN.

Hal ini adalah untuk menggambarkan peranan ICT sebagai pembolehubah transformasi digital untuk sektor lain serta untuk mengubah rantau ini menjadi ekonomi dan masyarakat yang didayakan secara digital.


Datuk Seri Mohammad Mentek, Ketua Setiausaha KKMM.

Sejajar dengan penamaan semula tersebut, Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan di bawah ADGMIN turut dinamakan semula sebagai ADGSOM, yang mana pada kali ini akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek yang akan berlangsung 19 hingga 20 Januari 2021.  

 

FOKUS TINGKAT TRANSFORMASI DIGITAL


Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Menyedari kepentingan kepercayaan terhadap transaksi yang dilakukan secara elektronik adalah merupakan asas utama bagi menggalakkan masyarakat untuk mengadaptasi transformasi digital, mesyuarat ADGMIN yang akan dipengerusikan oleh menteri KKMM, Datuk Saifuddin Abdullah itu juga akan turut menarik penyertaan daripada rakan Dialog ASEAN. 

Jelas Mano Verabathran, antara rakan Dialog ASEAN yang akan turut sama adalah Jepun, China, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Korea Selatan, India serta International Telecommunication Union (ITU) sama ada di peringkat Menteri atau di peringkat Pegawai Kanan.

Menyentuh mengenai perancangan seterusnya selepas tamat kedua-dua mesyuarat ADGMIN dan ADGSOM, beliau berkata, ADGMIN dan ADGSOM akan berada di bawah kerangka institusi ASEAN Economic Community (AEC) dan dibantu sepenuhnya oleh Sekretariat ASEAN yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia.

Ini termasuklah kemajuan pelaksanaan program dan projek di bawah ADGMIN dan ADGSOM yang akan dipantau oleh Sekretariat ASEAN.

“Selain itu, indikator antarabangsa juga digunakan bagi memantau dan mengukur perkembangan negara anggota ASEAN di sektor digital dan ICT.

Antara contoh indikator yang digunakan termasuklah ICT Indicator oleh International Telecommunications Union (ITU), Innovation Index of the Global Competitiveness Index oleh World Economic Forum (WEF), Online Services Index oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” katanya.


Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama (ADGMIN1) dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Digital ASEAN (ADGSOM). bernama.com/bm/infografik

Hasil mesyuarat itu juga nanti akan menyaksikan KKMM akan menyelaraskan tindakan perlu diambil dengan kementerian dan agensi yang menerajui sesuatu perkara yang dibincangkan di dalam mesyuarat ADGMIN. 

Ini kerana setiap negara ASEAN yang mempunyai perundangan dan cara pentadbiran yang berbeza.

“Sebagai contoh, bagi inisiatif berkaitan e-government, KKMM akan menyelaraskan dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan (MAMPU), sementara bagi perkara berkaitan bandaraya pintar pula akan diselaraskan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selaku kementerian yang menerajui perkara tersebut,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, penyelarasan dalam kalangan negara ASEAN mengenai bidang digital dan ICT amat penting untuk mengekalkan pertubuhan ini sebagai satu pasaran yang menarik kepada pihak pelabur luar, dengan potensi skala ekonomi yang tersedia.


Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN (ACC) yang berlangsung secara maya sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-37. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ini, jelasnya, berdasarkan Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA) menjangkakan, ekonomi digital ASEAN (istilah kolektif untuk semua urus niaga ekonomi yang berlaku dalam talian) akan berkembang sebanyak 6.4 kali ganda dari USD31 bilion pada tahun 2015 kepada USD197 bilion pada tahun 2025.

Malahan, dianggarkan bahawa ekonomi internet ASEAN, yang meliputi tempahan perjalanan dalam talian, e-dagang, online media dan ride hailing, mencapai nilai dagangan kasar sebanyak USD72 bilion pada tahun 2018 dan dijangka melebihi USD240 bilion menjelang 2025. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan