RENCANA

COVID-19: KES BAHARU KEMBALI EMPAT ANGKA, MALAYSIA REKOD 61,861 KES

28/11/2020 12:07 AM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman TERKINI mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari  21 Nov hingga pukul 8:30 mlm 27 Nov.

Jumlah kes COVID-19 di Malaysia melepasi angka 60 ribu.  Di peringkat global, lebih 61 juta kes dilaporkan dengan lebih 1.4 juta kematian. Lebih 42 juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR  (Bernama) -- Kes harian baharu COVID-19 kembali empat angka hari ini dan seterusnya melonjakkan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia kepada 61,861 kes.

Semalam, Khamis 26 November, negara mencatat kes harian baharu COVID-19 tiga angka, iaitu 935 sementara 970 kes dilaporkan pada Rabu 25 November.

Kes harian baharu sehingga pukul 12 tengah hari ini adalah sebanyak 1,109 dan 10 kes daripadanya adalah kes import.

Bermula dengan tiga (3) kes positif yang dilaporkan pada 25 Januari 2020, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan di negara kini sebanyak 11,307 kes.

Malaysia memintas Singapura untuk menduduki tempat ke-83 dalam senarai negara yang dilanda pandemik COVID-19 sementara negara jiran, Singapura berada di kedudukan 85 dengan 58,199 kes dan 28 kematian (minggu lalu ke-83).

Namun ada berita gembira untuk negara apabila jumlah kes pesakit COVID-19 yang dilaporkan pulih semalam adalah yang tertinggi setakat ini iaitu 2,555 orang. Jumlah pesakit sembuh yang tinggi turut direkod pada Rabu 25 November iaitu 2,348 kes

Hari ini, sebanyak 1,148  kes pulih dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 50,204 , iaitu 81.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Hari-hari lain untuk kes pulih - 1,673 kes (24 Nov), 883 kes (23 Nov), 1,104 kes (22 Nov) dan 1,405 kes (21 Nov).

Sabah terus mencatat kes pulih tertinggi dan hari ini mencatat 738 kes, diikuti Selangor, 223 kes dan Negeri Sembilan 51 kes.

Semalam, Sabah merekodkan jumlah pesakit COVID-19 sembuh paling ramai semalam iaitu 2,126 kes dan sebanyak 1,934 kes pada Rabu 25 November.

Sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini, Malaysia digemparkan dengan kes baharu harian melebihi dua ribu kes pada Selasa 24 November iaitu 2,188 (tertinggi sejak pandemik COVID-19 melanda Malaysia) apabila Kluster Teratai melibatkan pekerja kilang Top Glove di Selangor merekodkan 1,511 kes.

Kes baharu harian sepanjang rangkuman mingguan (21 Nov hingga 27 Nov), seperti berikut - 1,109 kes (27 Nov), 935 kes (26 Nov), 970 kes (25 Nov), 2,188 kes (24 Nov), 1,884 kes (23 Nov), 1,096 kes ( 22 Nov) dan kes 1,041 (21 Nov).


Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media mengenai perkembangan pengesanan kes baharu COVID-19 di Malaysia hari ini berkata, negeri Sabah masih melaporkan kes tertinggi sebanyak 441 kes (39.8 peratus). 

Ini diikuti Selangor sebanyak 175 kes (15.8 peratus) dan Negeri Sembilan, 167 kes (15.1 peratus).

 

KES KEMATIAN DAN KES-KES LAIN


Skrin memaparkan maklumat berkenaan Vaksin COVID-19 ketika sidang media perkembangan COVID-19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Kementerian Kesihatan. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sebanyak dua (2) lagi kes kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes kematian di Malaysia setakat ini sebanyak 350 kes, iaitu 0.57 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengikut pecahan hari, kematian yang dilaporkan sepanjang tempoh ini selain hari ini -  3 kes (26 Nov), 4 kes (25 Nov), 4 kes (24 Nov), 2 kes (23 Nov), 3 kes (22 Nov) dan 3 kes (21 Nov).

Daripada 21 kes kematian yang direkod daripada 21 Nov hingga 27 November, sebanyak 17 kes dilaporkan di Sabah, dua (2) kes di Pulau Pinang dan dua (2) kes berlaku di Wilayah Persekutuan Labuan.

Sementara itu, jumlah pesakit COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi sehingga Jumaat 27 November adalah seramai 113 orang dan 41 orang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

 

BENDUNG KLUSTER TERATAI


Para petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunggu di pekarangan Dewan Wawasan Penjara Seremban yang dijadikan Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) berikutan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula hari ini sehingga 7 Disember. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kluster Teratai yang dikaitkan dengan pekerja Kilang Top Glove menyebabkan jumlah kes harian baharu COVID-19 di Malaysia kekal empat angka pada kebanyakan hari sepanjang rangkuman mingguan ini. 

Kluster Teratai pertama kali diisytiharkan oleh KKM pada 7 November, melibatkan daerah Klang, Kuala Selangor, Petaling dan Hulu Langat di negeri Selangor. Ketika itu sebanyak 74 kes dikesan positif COVID-19.

Kluster ini kemudiannya menunjukkan peningkatan kes yang mendadak sehingga Perintah Kawalan Pergerakan DiPerketatkan (PKPD) dikuatkuasakan pada 17 November, meliputi asrama pekerja syarikat di Meru, Klang.

Setakat 25 November, Kluster Teratai sudah mencatat 4,063 kes positif COVID-19.

Untuk rekod, pada 21 November, daripada 402 kes di Selangor, sebanyak 298 kes adalah daripada Kluster Teratai . Jumlah kes harian baharu kes COVID-19 di Malaysia pada hari tersebut , sebanyak 1,041 kes.

Pada 22 November, sekali lagi Kluster Teratai merekod kes positif yang besar iaitu 502 daripada 603 kes yang dilaporkan di Selangor. Jumlah kes harian negara pada hari itu sebanyak 1,096 kes.

Pada 23 November, daripada 1,203 kes yang dilaporkan di Selangor, sebanyak 1,067 kes adalah daripada Kluster Teratai. Jumlah kes harian baharu untuk seluruh Malaysia pada hari berkenaan sebanyak 1,884 kes.

Pada 24 November, Kluster Teratai terus menjadi penyumbang besar kepada jumlah kes harian di Selangor iaitu 1,511 kes daripada 1,623 kes. Jumlah kes harian harian negara pada hari tersebut melangkau dua ribu iaitu 2,188 kes.

Satu pasukan khas ditubuhkan untuk menyelaras gerak kerja termasuk proses saringan, kuarantin dan penutupan kilang Top Glove yang dilaporkan kesemuanya berjumlah 28 buah kilang. 

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pada Rabu 25 November, pasukan khas tersebut dianggotai oleh Majlis Keselamatan Negara (Selangor), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Pejabat Daerah Klang, Majlis Perbandaran Klang, dan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang.

Secara keseluruhan, kilang Top Glove mempunyai seramai 11,215 pekerja dan setakat Selasa 24 November, sebanyak 5,795 ujian saringan dilakukan. Setakat Selasa 24 November juga, sebanyak 20 buah kilang ditutup manakala 7 buah lagi ditutup pada Rabu 25 November, dan sebuah lagi akan dibuat kemudian.

Pihak pengurusan kilang juga diarahkan untuk menjalankan saringan terhadap 2,263 pekerja yang tinggal di luar kawasan PKPD, bagi mengelakkan penularan dalam kawasan komuniti.

Ismail turut mengumumkan semua pekerja warga asing di negara ini perlu menjalani ujian saringan ‘swab test’. Untuk permulaan, ujian saringan ini akan difokuskan kepada pekerja asing di Kuala Lumpur, Labuan, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah melibatkan seramai 888,342 orang pekerja.

 

STATUS KLUSTER DAN PERINCIAN TERKINI KES COVID-19


Anggota tentera mula memasang pagar berduri di kawasan Taman Telipok Ria, Kota Kinabalu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) bermula 27 November. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sehingga 27 November, terdapat sebanyak 349 kluster dilaporkan termasuk empat (4) kluster baharu yang dilaporkan pada hari ini.

Jumlah kluster yang tamat sebanyak 173 kluster dengan satu (1) kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Omadal.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 176 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak47 kluster melaporkan pertambahan kes. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tapak Bina Puteh Lama (118 kes), Kluster Jalan Haruan (116 kes) dan Kluster Jalan Tuaran (43 kes).


Deretan kedai di Taman Sri Limau, Lunas ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula 27 November hingga 10 Disember. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sementara itu, untuk perincian kes positif COVID-19 baharu yang dilaporkan pada hari ini, Sabah merekod 441 kes di mana 43 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Jalan Tuaran.

Di Selangor, daripada 175 kes yang dilaporkan, 99 kes adalah daripada kluster sedia ada. Terdapat satu (1) kes import.

Di Negeri Sembilan, dilaporkan 167 kes. Sebanyak 118 kes daripadanya dikesan daripada kluster baharu, Kluster Jalan Haruan. Kluster ini melibatkan pekerja kilang.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melaporkan 154 kes. Terdapat satu kluster baharu iaitu Kluster Tapak Bina Puteh Lama, dan sehingga 27 November, sejumlah 820 individu disaring dan 139 daripadanya, dikesan positif.

Pulau Pinang pula melaporkan 64 kes dan terdapat satu kluster baharu, Kluster Beringin, melibatkan pekerja dua (2) buah kilang. Setakat 27 November, sejumlah 3,116 individu disaring dan 37 orang daripadanya, positif COVID-19.

Sementara itu, Perak mencatat 42 kes; Johor 33 kes, Kedah 25 kes, Kelantan lima (5) kes dan Pahang tiga (3) kes.

 

STATISTIK GLOBAL COVID-19


Statistik terkini COVID-19 di seluruh dunia dan ringkasan kes COVID-19 di Malaysia. www.coronatracker.com

Setakat rangkuman mingguan ini, kes COVID-19 global sebanyak 61,412,579 (rangkuman minggu lalu 57,324,718) dengan 1,439,993 kematian (minggu lalu  1,367,435 kematian). Jumlah pesakit sembuh, 42,483,969 (minggu lalu 39,804,645 orang).  

Amerika Syarikat masih mendahului senarai negara yang dilanda pandemik COVID-19 dengan 13,249,447. Angka kematian pula mencecah 269,597. Kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan 2020.

India, di tempat kedua dengan 9,309,871 kes dengan 135,752 kematian.  Ini diikuti oleh Brazil yang mencatat 6,204,570 kes dengan 171,497 kematian.   

Rusia mencatat 2,215,533 kes dengan 38,558 kematian. Perancis melaporkan 2,183,660 kes dan 50,957 kematian. 

Di samping lima negara di atas, terdapat 60 buah lagi negara  mencatat lebih 100,000 kes COVID-19. Negara yang mencatat jumlah kes antara sejuta dan di bawah dua juta adalah seperti berikut:-

Sepanyol 1,637,844 kes (44,374 kematian), United Kingdom 1,574,562 kes (57,031 kematian), Itali 1,509,875 kes (52,850 kematian), Argentina 1,399,431 kes (37,941 kematian), Colombia 1,280,487 kes (36,019 kematian), Mexico 1,078,594 kes (104,242 kematian) dan Jerman 1,005,307 kes (15,767 kematian).

Negara-negara yang merekodkan kes di bawah sejuta sehingga 400 ribu kes adalah:-

Peru 956,347 kes (35,785 kematian), Poland 941,112 kes (15,568 kematian), Iran 908,346 kes (46,689 kematian), Afrika Selatan 778,571 kes (21,289 kematian), Ukraine 693,407 kes (11,909 kematian), Belgium 567,532 kes (16,219 kematian), Chile 545,662 kes (15,235 kematian), Iraq 544,670 kes (12,125 kematian), Indonesia 522,581 kes (16,521 kematian), Czechia 511,520 kes (7,779 kematian), Turki 503,738 kes (13,014 kematian), Belanda 503,123 kes (9,184 kematian), Bangladesh 456,438 kes (6,524 kematian), Romania 449,349 kes (10,712 kematian) dan Filipina 424,297 kes (8,242 kematian).

Negara yang lain termasuk dalam senarai 100,000 adalah Pakistan 389,311 kes (7,843 kematian), Arab Saudi 356,389 kes (5,840 kematian), Kanada 353,097 kes (11,799 kematian), Maghribi 340,684 kes (5,619 kematian), Israel 333,084 kes (2,834 kematian), Switzerland 313,978 kes (4,509 kematian), Portugal 280,394 kes (4,209 kematian), Austria 266,038 kes (2,773 kematian), Sweden 236,355 kes (6,622 kematian), Nepal 227,640 kes (1,412 kematian), Jordan 203,021 kes (2,509 kematian), Hungary 198,440 kes (4,364 kematian), Ecuador 188,138 kes (13,316 kematian), Emiriah Arab Bersatu 163,967 kes (564 kematian), Panama 160,287 kes (3,018 kematian), Serbia 148,214 kes (1,366 kematian), Bolivia 144,390 kes (8,939 kematian), Kuwait 141,547 kes (872 kematian), Repubik Dominica 140,922 kes (2,317 kematian), Qatar 138,066 kes (237 kematian), Jepun 137,261 kes (2,022 kematian), Bulgaria 136,628 kes (3,529 kematian), Costa Rica 135,742 kes (1,679 kematian), Armenia 132,346 kes (2,090 kematian), Belarus 130,012 kes (1,128 kematian), Kazakhstan 129,213 kes (1,990 kematian), Georgia 123,470 kes (1,161 kematian), Oman 122,579 kes (1,391 kematian), Lubnan 122,579 kes (974 kematian), Guatemala 120,685 kes (4,133 kematian),Croatia 115,626 kes (1,552 kematian), Mesir 114,475 kes (6,596 kematian), Ethiopia 107,669 kes (1,672 kematian), Honduras 106,681 kes (2,892 kematian), Azerbaijan 106,101 kes (1,256 kematian), Moldova 102,894 kes (2,229 kematian), Slovakia 101,257 kes (749 kematian) dan Venezuela 100,817 kes (880 kematian).

Sementara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-68 dengan 86,495 kes (minggu lalu  86,398 kes) . Angka kematian kekal 4,634 (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina menyertai senarai 64 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Indonesia merekod 522,581 kes (minggu lalu 483,518 kes) dengan 16,521 kematian (minggu lalu 15,600 kematian). Filipina mencatat 424,297 kes (minggu lalu 415,067 kes) dengan 8,242 kematian (minggu lalu 8,025 kematian).   

Myanmar minggu ini melaporkan 85,205 kes (minggu lalu 74,882 kes) dengan 1,846 kematian (minggu lalu 1,676 kematian). Singapura melaporkan 58,199 kes (minggu lalu 58,143 kes).  Angka kematian kekal 28. 

Jumlah kes positif COVID-19 di Thailand pula sebanyak 3,961 (minggu lalu 3,892 kes) dengan angka kematian kekal 60. Vietnam mencatat 1,331 kes (minggu lalu 1,304 kes) dan angka kematian kekal 35.

Kes COVID-19 di Kampuchea minggu ini sebanyak 307 kes (minggu lalu 304 kes) dan masih sifar kematian.

Tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara kes COVID-19 di Laos meningkat kepada 39 kes dan sifar kematian.

---------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

 

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut. 

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.  

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

-- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

-- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan