RENCANA

BANTERAS JENAYAH SOSIAL: CUKUPKAH CCTV DI TEMPAT AWAM?

28/07/2020 04:52 PM

Oleh Shanika Abdul Latib

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Hanya dengan satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV), perilaku tidak bermoral dua individu dipercayai wanita yang menconteng mural gergasi memaparkan imej pemimpin negara di Seksyen U12, Shah Alam, hampir menemui penyelesaian.

Tidak dilupakan kemarahan masyarakat ke atas tindakan tidak berperikemanusiaan seorang lelaki  yang ‘melemaskan’ tiga kucing dalam mesin basuh di sebuah kedai dobi di Kepong pada awal Julai ini.

Juga perbuatan vandalisme di Taman Tasik Titiwangsa yang berlaku tidak sampai 24 jam taman itu dibuka semula pada 17 Dis, 2019. 

Tiga kes di atas malah beratus lagi insiden berkongsi satu persamaan - semua kejadian jenayah itu dibongkar melalui rakaman CCTV - teknologi dengan peralatan kecil namun cukup berkesan. 

Sorotan sejarah mencatatkan CCTV mekanikal pertama dibangunkan pada Jun 1927 oleh ahli fizik Russia, Leon Theremin yang pada asalnya dilakukan atas permintaan unit Pertahanan dan Buruh Soviet.

Sistem itu terdiri daripada kamera-pemancar-pengimbas dan penerima yang dikendalikan secara manual menerusi gelombang pendek tanpa wayar, dengan resolusi beratus talian.

Sementara di Amerika Syarikat, CCTV komersial terawal - Vericon, mula memasuki pasaran dan beroperasi pada 1949 namun tidak banyak yang diketahui mengenainya kecuali pemasangannya tidak memerlukan permit kerajaan. 

Pelaksanaan sistem CCTV pertama di Malaysia pula dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 1966 untuk memantau lalu lintas di pusat bandar dengan menggunakan kamera hitam dan putih yang dihubungkan dengan kabel langsung.

Seiring dengan perkembangan teknologi, penggunaan CCTV mula ditambah sekitar 1990-an teknologi ‘mata helang’ ini namun hanya 'dipandang' serius pada tahun 2003.

 

HANYA 1,000 CCTV DI IBU KOTA

Meskipun kini, lebih 100 lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang dipasang CCTV dengan peruntukan RM26.5 juta untuk program sewaan peralatan Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS)  yang melibatkan penggunaan CCTV dan Sistem Pemantauan Kenderaan (VMS). Adakah ia mencukupi dan dipasang di lokasi yang strategik?


Datuk Seri Akhbar Satar, Penganalisis Jenayah. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Melalui pemerhatian penganalisis jenayah Datuk Seri Akhbar Satar, perlu diakui bahawa jumlah CCTV yang sedia ada terutama di Kuala Lumpur masih tidak mencukupi malah jauh ketinggalan berbanding bandar lain di dunia.

“Sejak 2012 hingga 2019, hanya 37,705 CCTV ditempatkan di 3,226 premis swasta di seluruh negara manakala 1,000 CCTV dipasang di Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang.

“Jumlah ini termasuklah CCTV yang digunakan bagi kawalan trafik dan keselamatan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bersandarkan analisis data laman sesawang PreciseSecurity.com, Akhbar menjelaskan jumlah itu   masih ketinggalan jika dibandingkan di Amerika Syarikat yang mempunyai 15.28 CCTV bagi setiap 100 individu diikuti China (14.36), United Kingdom (7.5), Jerman (6.27), Belanda (5.8), Australia (4), Jepun (2.72) dan Korea Selatan (1.99). 

“Selain jumlah CCTV perlu ditambah, kualiti kamera pengawasan juga perlu dipertingkatkan dan ditempatkan di lokasi strategik terutama di tempat tumpuan awam bagi memudahkan penguatkuasa membuat siasatan dengan cepat dan tepat.

“Lebih efektif seandainya CCTV itu dihubungkan terus dengan pusat kawalan polis atau DBKL terutama melibatkan lokasi berisiko tinggi,” sarannya.

 

STRATEGI TERBAIK CEGAH JENAYAH


Tan Sri Lee Lam Thye, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Umpama sediakan payung sebelum hujan, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye mengakui pemasangan CCTV adalah satu strategi penting dan berkesan ke arah pencegahan jenayah.

Malangnya, di Malaysia terutama di Kuala Lumpur, kamera pengawasan yang dipasang lebih berfungsi untuk mengawasi lalu lintas berbanding pencegahan jenayah.

“Untuk itu, selain menambah CCTV di lokasi yang difikirkan strategik bagi tujuan pencegahan jenayah, kita sarankan DBKL setiap tahun menambah peruntukan bagi memperbanyakkan pemasangan  CCTV," katanya.

Bukan itu saja, CCTV perlu dipasang lebih banyak di kawasan luar bangunan seperti lorong, jejantas serta di kawasan parkir terbuka memandangkan di dalam bangunan, kamera pengawasan itu sudah dipasang oleh pemilik bangunan.

“Ini penting kerana banyak jenayah seperti ragut berlaku di luar bangunan dan sasaran utama adalah golongan wanita. Jika tiada CCTV di kawasan luar bangunan, agak susah pihak berkuasa untuk mengumpul bukti dan seterusnya menahan suspek,” katanya.

Ini turut dibuktikan dalam laporan“Privacy and Human Rights 2006 – Country Reports” by Privacy International, yang diterbitkan pada 18 Dis, 2007 menyatakan jumlah kes ragut di Kuala Lumpur menjunam sehingga 50 peratus manakala seluruh negara pula turun kepada 26.2 peratus apabila Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ketika itu memperkasakan penggunaan CCTV menerusi Program Bandar Selamat pada 2004. 

Sepanjang program itu dijalankan, 23 CCTV dipasang dengan dipantau oleh KPKT sementara pihak berkuasa tempatan diarah melaporkan status pelaksanaan projek itu dari semasa ke semasa.

Lee turut menolak pandangan bahawa pemasangan kamera pengawasan yang banyak di kawasan awam akan menimbulkan perasaan paranoid dalam kalangan masyarakat seperti mana yang berlaku di Amerika Syarikat.

“Itu semua hanyalah persepsi malah tiada sebab untuk orang ramai merasa tidak selesa atau takut dengan pemasangan CCTV di tempat awam khususnya. Tidak juga timbul isu pencerobohan ruang peribadi seperti mana yang didakwa.

“Jika anda seorang yang tidak melanggar undang-undang, kenapa perlu takut? Ini kerana pada akhirnya, di Kuala Lumpur atau di mana-mana saja kita berurusan, kita nak rasa selamat dan siapa yang tidak mahukannya? Bayangkan tanpa CCTV yang berfungsi menjaga keselamatan, jenayah boleh bermaharajalela,” kata Lee yang menegaskan isu keselamatan tidak boleh dikompromi.

 

CCTV BERKUALITI ATASI KELOMPONGAN


Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, Datuk Bandar Kuala Lumpur. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menyedari adanya kelompongan itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan tampil menjelaskan pihaknya telahpun mengambil pelbagai tindakan proaktif berkaitan kamera pengawasan di tempat awam dalam memastikan bandar tumpuan dunia ini selamat.

“Daripada 1,000 CCTV yang ada sekarang di Kuala Lumpur, 581 unit adalah bagi pemantauan trafik, pengumpulan data trafik (110 unit), manakala selebihnya adalah khusus bagi tujuan keselamatan. Kita akui jumlah ini tidak mencukupi dan dalam usaha menambah 1,909 unit lagi akhir tahun ini,” katanya.

Masyarakat perlu fahami, pelaksanaan sistem pengawasan video di ruang awam bukanlah tugas kecil dari segi kos dan sumber daya lain memandangkan ia melibatkan kos dan komitmen yang tinggi.

“Lebih utama, melaksanakan sistem pengawasan video di ruang awam mesti dilakukan dengan penuh integriti dan menghormati privasi peribadi dan kebebasan awam,” kata Nor Hisham. 

Biarpun berdepan pelbagai kekangan, ia tidak menghalang DBKL menambah jumlah CCTV yang rata-ratanya kini sudah berusia lebih lima tahun.


Pegawai Pusat Kawalan Gerakan (CCC) Pulau Pinang (kanan) bersama Pegawai Bilik Kawalan Kamera Litar Tertutup (CCTV) Majlis Bandaraya Pulau Pinang meninjau keadaan sekeliling melalui penggunaan CCTV yang lengkap dengan sistem pengecaman wajah. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ini termasuk unit baharu CCTV yang bakal dipasang akan dilengkapi dengan teknologi 'zooming' yang bukan sahaja membolehkan pengecaman nombor plat kenderaan, malah membolehkan pengecaman wajah penjenayah.

“Kita sentiasa menambah baik kualiti CCTV dan teknologi sistem yang sedia ada. Kalau sekarang teknologi yang digunapakai hanya boleh mengambil rakaman ‘street view’ sahaja, pada masa yang akan datang kualiti CCTV dan sistem yang lebih baik akan digunakan, malah pertukaran sudah dilakukan secara berperingkat-peringkat,” jelasnya. 

Secara asasnya, terdapat dua jenis CCTV popular yang digunakan pada zaman sekarang iaitu PTZ Camera (Pan Tilt Zoom) dan Dome Camera.

PTZ Camera adalah gabungan fungsi kamera yang berkemampuan untuk dapat bergerak ke kiri dan ke kanan, ke atas dan ke bawah serta memperbesar imej hingga beberapa kali ganda secara automatik atau manual melalui alat kawalan jauh.

Lazimnya, CCTV jenis PTZ digunakan untuk memantau kawasan yang luas dengan menggunakan satu kamera, sekali gus memudahkan pengendali CCTV mengawasi dengan menggunakan hanya satu kamera. 

Sementara Dome Camera, yang namanya berdasarkan bentuknya seperti kubah pula mempunyai kamera jenis kekal yang hanya menghala ke satu arah. 

 

PELBAGAIKAN FUNGSI CCTV


Petugas Pusat Kawalan Trafik PLUS Malaysia Bhd (PLUS) sentiasa memantau keadaan trafik di Lebuhraya Utara Selatan. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dalam usaha menambah baik pelaksanaan pemasangan CCTV di tempat awam, DBKL juga merancang untuk menghubungkan maklumat dari Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Lembaga Lebuhraya Malaysia ke pusat kawalan berpusat (CCC) DBKL.

DBKL akan turut berbincang dengan Ketua Polis Kuala Lumpur mengenai langkah bersama yang perlu diambil bagi memastikan tahap keselamatan di ibu negara lebih terjamin, termasuk pemasangan dan pemantauan melalui CCTV.

Setakat ini, IPD Sentul mengawal 103 unit CCTV milik DBKL, IPD Dang Wangi (83), IPD Cheras (59), IPD Brickfields (48), IPK Kuala Lumpur (16).

 “Ini bagi memudahkan pemantauan dan hebahan maklumat kepada orang ramai di samping salah satu strategi mempelbagaikan fungsi CCTV melalui kerjasama dengan agensi lain. Kita percaya, kerjasama dan perkongsian akses ini mampu menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar selamat,” katanya.

Disunting oleh Cik Rashidah Abd Ghani

BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan