JOHOR BAHRU, 11 Mei (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tiada sebarang perbincangan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dibangkitkan dalam pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mahupun Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti berkenaan hari ini.
Beliau berkata sesi menghadap dan fotografi bersama-sama Seri Paduka Baginda dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail di Istana Besar Johor hanyalah sempena sambutan ulang tahun ke-80 UMNO.
"Saya bertemu (Agong) tetapi tidak menyentuh langsung mengenai perkara itu... ia satu peristiwa sangat signifikan kerana penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 juga dilakukan di Istana Besar Johor dan sesi fotografi yang sama turut diadakan ketika itu," katanya.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Bangunan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor di sini.
Antara yang hadir ialah Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ahmad Zahid turut ditanya mengenai Mesyuarat MT UMNO yang berlangsung hari ini.
"Secara seriusnya, saya ingin menyatakan bahawa ini hanyalah mesyuarat biasa... walaupun banyak isu nasional dibincangkan, topik PRN Johor tidak disentuh," katanya.
Menyentuh mengenai kemungkinan PRN Johor diadakan lebih awal daripada Melaka, beliau berkata sebarang keputusan mengenainya hanya akan dibincang dengan Onn Hafiz selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Sultan Johor.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memuji pentadbiran Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Onn Hafiz yang disifatkan berjaya memberikan "faktor wow" kepada rakyat melalui pengumuman dalam Belanjawan 2026 dan pemakluman pada persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.
"Peningkatan pendapatan negeri membolehkan pengagihan dibuat secara adil kepada semua kumpulan masyarakat tanpa mengira umur, kaum dan agama... kita harapkan kemakmuran ini dihargai oleh seluruh rakyat Johor," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial