POLITIK > BERITA

Masa Depan PN Masih 'Samar' Walau Dengan Pelantikan Kepimpinan Baharu - Penganalisis

23/02/2026 05:39 PM

 

Oleh Sakini Mohd Said dan Rozainah Abdul Rahim

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Selepas hampir dua bulan ketidaktentuan mengenai hala tuju kepimpinan Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Jan lepas, gabungan parti politik itu akhirnya mengumumkan pengerusi baharu, semalam.

Pelantikan Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bagi mengisi kekosongan tersebut selepas mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) PN, bagaimanapun disifatkan pemerhati politik tidak mengejutkan, sebaliknya sudah dijangka sebelum ini.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mazlan Ali berpandangan hubungan antara Bersatu dan PAS selepas pelantikan kepimpinan baharu itu masih belum benar-benar stabil, malah berisiko berada dalam situasi “kelam” memandangkan hala tuju gabungan itu masih kabur.

“Saya nampak kelam, tidak nampak jalan cerah hubungan antara Bersatu dan PAS walaupun mereka duduk semeja dan menyetujui Pengerusi PN baharu. Mengejutkan, apabila Muhyiddin dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN kerana kapasitinya sebagai Presiden Bersatu. Ini dilihat sebagai “diturunkan pangkat”.

“Muhyiddin sebelum ini Pengerusi PN, bekas Perdana Menteri, berpengalaman dan banyak jasanya. Tetapi, apabila orang muda (Ahmad Samsuri) jadi bos (Pengerusi), ia menunjukkan seolah-olah tidak hormat kepada Muhyiddin dan saya berpandangan ahli sukar menerima arahan daripadanya,” katanya kepada Bernama.

Mesyuarat semalam memutuskan untuk menerima peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN tetapi, beliau sebaliknya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.

Pengarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur itu berkata walaupun pimpinan tertinggi PN menggambarkan mesyuarat berlangsung secara harmoni, episod ketegangan sebelum ini serta kedudukan Muhyiddin yang semakin lemah pastinya menyukarkan gabungan tersebut kembali stabil dan mencapai muafakat politik yang kukuh.

Justeru, Mazlan berpandangan kemungkinan pergeseran antara PAS dan Bersatu akan berterusan, lebih-lebih lagi hubungan PAS dengan bekas Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilihat kekal baik, malah PAS dikatakan lebih selesa dengan kepimpinan Hamzah.

“Ini terbukti apabila Hamzah berkongsi sekeping gambar bersama Presiden PAS dan beberapa pemimpin parti itu yang tular di media sosial selepas pemecatan berkenaan, sekali gus menggambarkan hubungan yang masih erat antara kedua-dua tokoh,” katanya.

Beliau berkata tidak mustahil PAS cenderung memilih kerjasama dengan Hamzah yang disifatkan lebih selesa dan memiliki sokongan lebih besar sekiranya Ahli Parlimen Larut itu mengambil langkah menubuhkan parti baharu.

Katanya ketrampilan Hamzah juga dilihat lebih kukuh kerana mendapat sokongan majoriti 18 daripada 25 Ahli Parlimen parti itu selain 118 ketua bahagian Bersatu menzahirkan sokongan padu kepadanya. 

“Jika itu berlaku, Bersatu berdepan risiko tersisih daripada PN kerana PAS tentunya akan membuat pertimbangan berdasarkan kekuatan sokongan dan kelangsungan politik gabungan. Saya berpandangan ada kemungkinan besar, Bersatu akhirnya akan keluar daripada PN dan PAS memilih kerjasama bersama Hamzah,” katanya. 

Beliau berkata tidak ada halangan untuk Hamzah menubuhkan parti baharu kerana tidak terikat dengan undang-undang lompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663), memandangkan beliau dipecat daripada parti.

“Lembaga Disiplin parti itu telah memutuskan bahawa Hamzah dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu kerana melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti berkenaan. Dalam polemik pemecatan Hamzah, tidak ada halangan untuk dia tubuhkan parti baharu.

“Ada potensi untuk parti baharu Hamzah berdiri lebih kukuh berbanding Bersatu kerana beliau akan membawa Ahli Parlimen dan mereka yang tidak sekutu dengan Muhyiddin bersama di bawah parti tersebut sekali gus bekerjasama dengan PN,” katanya. 

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN yang baharu dilihat sebagai strategi untuk meraih sokongan bukan Melayu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan