POLITIK > BERITA

Kadzim Angkat Sumpah Speaker DUN Sabah Untuk Penggal Kedua

02/10/2025 02:10 PM

KOTA KINABALU, 2 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Kadzim M Yahya mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk penggal kedua di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.

Terdahulu, Kadzim menerima Surat Cara Pelantikan untuk jawatan itu selama satu penggal untuk lima tahun daripada Tun Musa.

Selepas mengangkat sumpah, beliau menandatangani dokumen tersebut disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya serta menteri dan pembantu menteri Kabinet Sabah.

Kadzim, 66, yang dilantik sebagai Speaker DUN Sabah pada 1 Okt 2020, berkelulusan Bachelor of Law (LLB) daripada Council for National Academic Awards (CNAA) United Kingdom dan pemegang Certificate in Legal Practice (CLP) Malaysia Qualifying Board.

Beliau pernah menyandang jawatan Pegawai Undang-Undang Ko-Nelayan dari 1987 hingga 1990 dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah dari 2008 hingga 2018.

Terdahulu, petugas media berkumpul bermula 9 pagi di hadapan Istana Seri Kinabalu termasuk melakukan persediaan sekiranya terdapat isyarat DUN Sabah akan dibubarkan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengumuman mengenai pembubaran DUN dan Jabatan Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan kemudiannya, hanya memaklumkan perlantikan semula Kadzim sebagai Speaker DUN Sabah.

DUN Sabah ke-16 akan terbubar secara sendiri pada 11 Nov jika tidak dibubarkan sebelum tarikh itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan