POLITIK > BERITA

Jangan Terus Bersedih, Wanita UMNO Terengganu Perlu Mulakan Gerak Kerja – Noraini

04/07/2025 06:40 PM

KUALA BERANG, 4 Julai (Bernama) -- Wanita UMNO Terengganu digesa memulakan gerak kerja dari sekarang bagi menawan semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketuanya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menegaskan ahli sayap parti itu tidak seharusnya terus bersedih dengan kekalahan menyeluruh UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15, sebaliknya perlu bangkit dan kembali memperkukuh sokongan rakyat terhadap parti.

“Kita perlu kembali dan berusaha menjadi parti yang dominan pada PRU akan datang. Ketepikan perbezaan pendapat (dan) bekerja kuat dari sekarang,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Rozi Mamat.

Noraini yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata semua sayap parti juga perlu ‘mengharmonikan’ peranan masing-masing bagi memastikan rakyat di pelbagai peringkat disantuni dengan baik.

“Kita perlu jaga erat rakyat. Pemuda dan Puteri boleh teruskan dengan strategi kempen di media sosial manakala bagi Wanita, teruskan gerak kerja dengan berjumpa rakyat dari rumah ke rumah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan