POLITIK > BERITA

Pelantikan Nurul Izzah, Saifuddin Beri Kelebihan Kepada PKR Hadapi Pilihan Raya - Fahmi

22/06/2025 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Pelantikan Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama disifatkan mampu memberikan kelebihan kepada PKR dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil berkata kedua-dua pemimpin itu pernah memikul tanggungjawab berkenaan sebelum ini, selain masing-masing mempunyai pengalaman serta kekuatan dalam merangka strategi parti.

“Kedua-duanya pernah memikul tugas tersebut dan dalam keadaan ini, ia memberikan kelebihan kepada PKR kerana mereka saling melengkapi dan mempunyai kekuatan tersendiri.

“Jadi, saya lihat ini satu impak positif kepada PKR, Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita pada Karnival Kita MADANI peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di IWK Eco Park, Lembah Pantai, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan.

Semalam, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Nurul Izzah dan Saifuddin Nasution bagi jawatan itu diputuskan dalam Mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Mesyuarat berkenaan turut bersetuju melantik semula Fahmi sebagai Ketua Penerangan PKR, manakala Datuk Dr Fuziah Salleh dan William Leong kekal memegang jawatan masing-masing sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari Agung PKR.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan