JOHOR BAHRU, 15 Jun (Bernama) -- Sebanyak 2,197 cawangan UMNO di Johor selesai bersidang sekali gus membuktikan akar umbi parti itu kekal utuh dan setia, kata Pengerusi UMNO Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata mesyuarat itu menjadi titik tolak pembaharuan dalam memperkukuh gerak kerja dan semangat perjuangan parti di negeri kelahiran UMNO itu.
“Ini bukan sekadar angka, ini adalah bukti bahawa akar umbi UMNO Johor masih utuh dan setia. Di negeri kelahiran UMNO ini, denyut perjuangan tidak pernah padam,” katanya menerusi kenyataan.
Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor menyeru seluruh ahli supaya menjadikan mesyuarat cawangan ini sebagai titik tolak pembaharuan bagi merapatkan saf, menyusun strategi dan memperkuat keyakinan rakyat terhadap UMNO sebagai pelindung masa depan mereka.
Beliau berkata mesyuarat bukan sekadar agenda organisasi tetapi medan penting untuk memperkukuh gerak kerja parti serta memperkasakan naratif kejayaan Kerajaan Negeri Johor di bawah panji UMNO.
“Agenda Maju Johor bukan sekadar dasar pentadbiran, ia cerminan prinsip dan perjuangan UMNO Johor. Ia mesti difahami, disebar luas, dan diperjuangkan sehingga ke akar umbi,” katanya.
Mesyuarat perwakilan UMNO bahagian berlangsung dari 9 Jun hingga 27 Julai depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial