POLITIK > BERITA

Tengku Zafrul Umum Letak Jawatan Dalam UMNO, Mohon Sertai PKR

30/05/2025 11:18 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO.

Dalam kenyataan di Facebook, beliau berkata surat peletakan jawatan itu telah dihantar kepada pucuk pimpinan UMNO hari ini.

Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata beliau telah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh. 

“Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat,” katanya.

Tengku Zafrul menerusi surat yang dihantar kepada pimpinan UMNO, menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah bermuhasabah diri dan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya faktor keserasian dan kesesuaian.

“Keputusan ini bukan sebuah keputusan yang mudah. Sebelum membuat keputusan ini, saya telah meminta nasihat dan pandangan dari sahabat-sahabat saya dari dalam dan luar parti termasuk dari Yang Amat Berhormat Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sendiri.

“Saya telah mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam, terutamanya kerana UMNO adalah satu-satunya parti politik yang saya pernah sertai, sejak tahun 1997 lagi,” katanya.

Tengku Zafrul turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan dorongan kepadanya ketika bersama UMNO.

“Jasa anda tak mungkin akan terbalas dan akan saya kenang sampai bila-bila. Terima kasih,” katanya.

Sementara itu dalam hantaran berasingan, Tengku Zafrul memaklumkan beliau akan berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.

“Di kesempatan ini saya ingin memohon kemaafan kepada semua yang membaca coretan ini andai ada terkasar bahasa, tersilap kata atau apa-apa kekurangan sepanjang perkenalan kita.

“Terima kasih atas ingatan dan doa tulus ikhlas kalian. Doakanlah agar perjalanan dan ibadah saya dipermudahkan, diterima dan dikurniakan haji yang mabrur. Insya-Allah, saya akan manfaatkan setiap detik di sana,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan