POLITIK > BERITA

Peluang Pekerjaan, Pemilikan Kediaman Untuk Belia Antara Isu Dibangkitkan Perwakilan AMK

23/05/2025 07:03 PM

JOHOR BAHRU, 23 Mei (Bernama) -- Peluang pekerjaan dan pemilikan kediaman untuk golongan belia adalah antara isu yang dibangkitkan perwakilan pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini.

Ketua AMK Kota Melaka Alex Lee Yen Wei, ketika membahaskan ucapan dasar Ketua AMK Adam Adli Abdul Halim, turut menekankan kepentingan Malaysia untuk terus memperkukuh diplomasi ekonomi bagi menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor teknologi dan inovasi sekali gus membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat tempatan.

Beliau berkata selain itu, penyertaan belia dalam rundingan termasuk di peringkat antarabangsa dan pelantikan diplomat muda yang berprinsip serta berani bersuara penting bagi membolehkan mereka  menyumbang pandangan segar dalam proses penggubalan dasar.

“Kita mungkin tidak boleh bersaing dari segi kuasa tapi dengan langkah yang betul, kita boleh menjadi kuasa ekonomi yang dihormati,” katanya.

Ketua Cabang AMK Hulu Langat Muhammad Azimuddin Mohamed pula mahu kerajaan mengambil pendekatan lebih kreatif dalam membantu golongan muda memiliki kediaman sendiri.

“Mungkin boleh cuba satu pendekatan yang lebih fleksibel antaranya memperluas inisiatif Smart Sewa yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor yang menyaksikan setiap individu berkelayakan akan dibenarkan menyewa kediaman yang dikhususkan untuk program berkenaan bagi tempoh lima tahun.

“Selepas tempoh sewaan lima tahun itu, beberapa peratus daripada nilai keseluruhan sewaan dipulangkan kepada penyewa untuk mereka jadikan deposit untuk membeli kediaman sendiri selepas itu,” katanya. 

Kongres Nasional AMK yang bertemakan 'Membangun MADANI, Menuju Reformasi' berlangsung di Berjaya Waterfront Hotel di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan