POLITIK > BERITA

Cadangan Mansuh Benarkan Ahli Baharu PKR Bertanding Akan Dibincang - Anwar

23/05/2025 02:21 PM

JOHOR BAHRU, 23 Mei (Bernama) -- Cadangan supaya kuasa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membenarkan ahli baharu bertanding dalam pilihan raya dan pemilihan parti dimansuhkan akan dibincangkan lebih lanjut dalam mesyuarat parti, kata Presiden yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita (akan) bawa (cadangan) dalam mesyuarat, sebab saya punya keputusan hari itu dalam mesyuarat MPP (Majlis Pimpinan Pusat) saya kata saya tak mahu mempersulitkan (ahli bertanding).

“Sebab itu bila HQ (ibu pejabat) hantar (senarai permohonan calon) pada saya, saya luluskan semua. Kalau saya lulus sebahagian, sebahagian tak lulus nanti jadi masalah pula... Jadi semua yang sampai ke meja saya selepas diproses HQ sama ada bankrap ke (atau) salah laku ke, saya lulus semua, jadi bagi saya tiada isu,” katanya.

Anwar berkata kepada pemberita selepas selesai mengundi secara fizikal bagi pemilihan kepimpinan pusat parti di Berjaya Waterfront Hotel, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PKR yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh serta Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli menyarankan agar kuasa Presiden parti yang membenarkan ahli baharu bertanding dalam pilihan raya dan pemilihan parti dimansuhkan sepenuhnya bagi mengelak parti dibanjiri individu yang hanya mahukan jawatan.

Sementara itu, ditanya mengenai kehadiran Rafizi pada perasmian Kongres Nasional PKR malam ini, Anwar berkata beliau menjangkakan Menteri Ekonomi itu akan hadir atas kapasitinya selaku Timbalan Presiden PKR.

“Saya jangka lah kerana dia Timbalan Presiden, mesyuarat Jemaah Menteri pun dia datang, dia jalan kerja dengan baik seperti biasa bentang kertas kerja, (dan) ulas,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan