POLITIK > BERITA

UMNO Cadang Tubuh Institut Kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi

12/05/2025 05:26 PM

KEPALA BATAS, 12 Mei (Bernama) -- UMNO mencadangkan penubuhan sebuah institut kepimpinan yang mengabadikan nama Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai pusat latihan dan penyelidikan politik parti itu.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bulan depan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kajian dan dokumentasi mengenai perjalanan politik serta pemikiran bekas Perdana Menteri kelima itu.

“Kita akan letakkan ini sebagai sebuah institut bukan hanya untuk latihan, tetapi juga menjadi pusat kaji selidik (research centre) kepada UMNO,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pemasyhuran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohamad Abdul Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dan anak Allahyarham Tun Abdullah, Tan Sri Kamaluddin Abdullah.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata institut itu juga akan menjadi sumber rujukan penting kepada penyelidik dan pengkaji sejarah, khususnya menjelang sambutan ulang tahun ke-80 UMNO tahun hadapan.

“Sekarang ini memang sudah ada unit penyelidikan, tetapi kita akan perbesarkan supaya ia boleh dijadikan bahan rujukan bagi penyelidik dan pengkaji sejarah perjuangan UMNO,” katanya.

Selain menamakan semula MRSM Kepala Batas sebagai MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi, Ahmad Zahid turut mengarahkan pihak pengurusan MRSM untuk menganjurkan seminar khas dalam tempoh sebulan ini bagi mengupas pemikiran dan perjalanan kerjaya politik Bapa Pembangunan Modal Insan itu.

Beliau berkata seminar berkenaan akan menyelusuri fikrah serta sumbangan Allahyarham Tun Abdullah, bermula daripada perkhidmatannya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, hinggalah ke jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri Malaysia.

Beliau berkata seminar itu bakal menghimpunkan para intelektual, sejarawan dan ahli profesional.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan