KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan hasrat untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti itu bagi sesi 2025-2028.
Amirudin menerusi kenyataan di Facebook berkata hasrat itu sejajar dengan prinsip untuk memperkukuh PKR sebagai parti politik unggul, paksi reformasi dan teras Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata matlamat utama pemilihan kali ini adalah untuk membentuk pasukan yang berkeupayaan melaksanakan cita-cita reformasi serta berkhidmat dan bekerja mendukung kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua.
“Dengan tema kempen ‘Reformasi Cita Bangsa’, saya membawa gagasan yang sejajar tema ‘Bersama Membina Parti Kita’ oleh calon Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar.
“Kita ingin perligat gerak jentera serta merapatkan saf anggota di samping memperkuat hubungan bersama parti komponen Kerajaan Perpaduan bagi menyusun langkah memenangi Pilihan Raya Umum ke 16,” katanya.
Menurutnya dalam tempoh kempen pemilihan, beliau akan mengulas dan membentangkan gagasan Reformasi Cita Bangsa itu kepada seluruh anggota parti.
Setakat 10 pagi tadi, 11 pemimpin sudah mengesahkan pencalonan bagi mengisi empat jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti 21 Mei ini.
Mereka termasuk tiga penyandang iaitu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sains dan Teknologi Chang Lih Kang serta Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat MPP, Majlis Pimpinan AMK (MPAMK) dan Majlis Pimpinan Wanita Keadilan (MPWK) akan diadakan pada 23 Mei ini sempena Kongres Nasional PKR di Johor Bahru.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial