POLITIK > BERITA

SARAWAK TERUS BERUSAHA JAYAKAN AGENDA TAMBAH BILANGAN WAKIL RAKYATNYA DI PARLIMEN

08/05/2024 12:04 PM

KUCHING, 8 Mei (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini diberitahu bahawa Sarawak akan terus berusaha kearah menjayakan agenda menambah bilangan wakil rakyatnya di Parlimen.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata tuntutan itu mesti dipenuhi bagi memastikan perwakilan seimbang di Parlimen selaras dengan semangat dan tujuan asal penubuhan Malaysia pada tahun 1963.

Beliau berkata kertas cadangan penambahan bilangan kerusi wakil rakyat Sarawak di Parlimen telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu (JKRS) pada 23 Ogos 2022.

“Dengan pertukaran dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Sarawak tetap meneruskan agenda berkaitan perkara itu di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang baru ditubuhkan,” katanya.

“Mesyuarat pertama MTPMA63 yang diadakan pada 20 Jan 2023 memutuskan supaya perkara ini dibincangkan dengan lebih lanjut dalam jawatankuasa kerja yang diketuai oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri.

“Mesyuarat jawatankuasa kerja telah bermesyuarat dua kali, dan sekali lagi perkara itu dibentang dan dibincangkan. Keputusan mesyuarat itu kemudiannya akan dibentangkan pada mesyuarat jawatankuasa teknikal akan datang yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Dennis Ngau (GPS-Telang Usan) yang ingin tahu apakah status cadangan Sarawak menambah perwakilan Borneo di Parlimen semasa sesi soal jawab pada persidangan DUN hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan