POLITIK > BERITA

PRK KKB: KENYATAAN PN FAIL PETISYEN JELAS UNTUK TAKUTKAN PENGUNDI

08/05/2024 11:25 AM

HULU SELANGOR, 8 Mei (Bernama) -- Kenyataan Perikatan Nasional (PN) yang ia akan memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), jelas bertujuan menakut-nakutkan pengundi, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan Ammar Atan.

Beliau berkata sekiranya PN mempunyai bukti kukuh bahawa terdapat pelanggaran peraturan pilihan raya oleh PH, gabungan itu sepatutnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Ugutan untuk memfailkan petisyen sekiranya PN tewas adalah bukti jelas bahawa PN sedang mengugut dan tidak mahu pengundi untuk keluar mengundi dan melaksanakan hak mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini media melaporkan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa kerajaan menyalahguna aset untuk berkempen pada PRK KKB, dan PN akan memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya sekiranya PH menang pada PRK berkenaan.

PRK itu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan Pang Sock Tao (PH), Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lepas.

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi PRK berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan