POLITIK > BERITA

WANITA PKR SASAR LATIH 100 WANITA DI SWAN

08/05/2024 10:42 AM

PUTRAJAYA, 8 Mei (Bernama) -- Wanita PKR menyasarkan untuk melatih 100 wanita menerusi program Sekolah Wanita (SWAN), iaitu platform untuk pendidikan demokrasi, politik dan sosial dalam melatih pemimpin masa depan.

Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek berkata SWAN dibangunkan bertujuan memperkasakan kecerdasan wanita di negara ini. 

"Sekolah ini terbuka untuk semua (tidak mengira parti politik), kita harap akan disertai segenap wanita di mana sahaja mereka berada tidak kira umur dan latar belakang. 

"Yang penting mereka (yang masuk ke SWAN) benar-benar berminat untuk menguasai beberapa segmen dan dimensi keilmuan serta aktivisme seterusnya menyiapkan diri untuk menerajui negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran SWAN di sini malam tadi.

SWAN dilancarkan isteri Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Fadhlina berkata sekolah itu akan beroperasi di sebuah premis dengan dilengkapi kelas, tenaga pengajar dan diketuai Pengetua Yong Bazilah Abu Bakar manakala beberapa konsultan serta pakar perunding juga telah dilantik bagi mengendalikan sesi bersama sekolah itu. 

"Kita akan buka penyertaan sesegera mungkin dan kelas akan mula beroperasi bulan hadapan tanpa apa-apa yuran pengajian," katanya.

Ditanya hala tuju lepasan sekolah itu pada masa hadapan, Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata konsep asas sebuah sekolah pastinya memanusiakan manusia selain memberi manfaat kepada manusia lain. 

Menurut beliau tumpuan SWAN pastinya mahu melahirkan aktivis masyarakat terlatih, pemimpin masyarakat dan pemimpin negara. 

"Malah, kita juga bersedia mempertaruhkan mereka pada pilihan raya akan datang," katanya.

Sementara itu, Yong Bazilah berkata antara modul yang ditawarkan di SWAN ialah politik, ekonomi, advokasi, demokrasi, perundangan, kesejahteraan dan personaliti keterampilan.

"Tempoh pengajian adalah setahun, tetapi kita turut menawarkan kursus-kursus jangka pendek yang bersesuaian dengan keadaan semasa," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan