Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Indeks penanda aras Bursa Malaysia dijangka menguji semula paras 1,700 dan diunurkan dalam julat antara 1,710 hingga 1,715 pada minggu depan, disokong oleh selera risiko yang semakin baik serta penilaian menarik dalam kalangan saham mewah Malaysia terpilih.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi, IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata peningkatan semula FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) semasa dua sesi dagangan terakhir minggu ini, susulan kelemahan berterusan yang dilihat pada bulan Mei, menunjukkan bahawa sentimen pasaran jangka pendek dijangka stabil.
"Memandangkan minat terhadap kenaikan yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI) mula menurun, pelabur mungkin mula beralih ke sektor defensif dan saham permodalan besar yang dinilai rendah di luar pasaran AS."
"Kami juga melihat ruang untuk pelabur asing memasuki semula pasaran selepas jualan bersih selama tiga minggu berturut-turut," katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek berkata walaupun data ekonomi AS yang lebih kukuh boleh terus menyokong minat risiko global, penilaian tinggi dalam ekuiti AS mungkin mendorong pelabur untuk mencari peluang dalam pasaran baru muncul kerana penilaian kekal menarik.
"Malaysia akan mendapat manfaat daripada pengagihan semula aliran modal sedemikian," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata firma itu kekal optimis dengan berhati-hati, selain itu minat belian dalam saham mewah terus disokong oleh penilaiannya yang menarik.
“Bagaimanapun, ketidaktentuan berhubung konflik AS-Iran kekal menjadi bebanan utama dengan sedikit kemajuan dicapai ke arah perjanjian damai yang menyeluruh dalam persekitaran permusuhan yang kembali tercetus sejak beberapa hari kebelakangan ini," katanya.
"Walaupun aktiviti membeli saham murah mungkin terus memberi sokongan kepada pasaran tempatan, pelabur berkemungkinan kekal selektif memandangkan risiko geopolitik yang berlanjutan dan ketidaktentuan terhadap prospek ekonomi global," katanya.
Bagi minggu dagangan singkat susulan cuti umum, Bursa Malaysia ditutup kebanyakannya lebih tinggi didorong oleh aktiviti membeli saham murah dengan sentimen meningkat selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetepikan kemungkinan pilihan raya umum mengejut akan diadakan dalam tempoh terdekat dan menekankan fokus kerajaan untuk mengekalkan kestabilan negara serta memacu pemulihan ekonomi.
Bursa Malaysia ditutup pada Isnin, 1 Jun dan Selasa, 2 Jun lepas bersempena dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong serta cuti gantian Hari Wesak.
Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI naik 10.36 mata kepada 1,693.43 daripada 1,683.07 pada minggu sebelumnya.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 21.94 mata kepada 12,602.06, Indeks FBMT 100 meningkat 24.36 mata kepada 12,441.90, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 33.92 mata kepada 12,570.15, Indeks FBM 70 susut 184.73 mata kepada 18,299.60, manakala Indeks FBM ACE merosot 30.57 mata kepada 4,733.24.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan menokok 172.0 mata kepada 8,671.54, Indeks Tenaga menambah 17.45 mata kepada 796.20, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 260.02 mata kepada 19,784.31, manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.92 mata kepada 198.74.
Jumlah dagangan mingguan naik kepada 10.73 bilion unit bernilai RM11.32 bilion daripada 14.77 bilion unit bernilai RM21.55 bilion minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menguncup kepada 6.10 bilion unit bernilai RM10.31 bilion daripada 9.13 bilion unit bernilai RM20.32 bilion sebelum ini.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 2.97 bilion unit bernilai RM406.42 juta daripada 3.38 bilion unit bernilai RM422.21 juta minggu lepas.
Sementara itu, jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 1.65 bilion unit bernilai RM600.11 juta daripada 2.25 bilion unit bernilai RM801.54 juta minggu lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial