PASARAN > BERITA

Ringgit Ditutup Rendah Susulan Kebimbangan Baharu Terhadap Tarif AS

03/06/2026 08:08 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Rabu dalam keadaan pasaran mata wang tidak menentu berikutan wujud semula kebimbangan mengenai tarif Amerika Syarikat (AS).

Pada 6 petang, mata wang tempatan menurun kepada 3.9955/9990 berbanding dolar AS daripada 3.9625/9670 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Wakil Perdagangan AS (USTR) dalam kenyataan media terkini, telah mengenal pasti dasar dan amalan 60 ekonomi yang akan berdepan kenaikan tarif berhubung elemen buruh paksa.

 “Ini menunjukkan bahawa dasar perlindungan perdagangan akan terus membentuk ekonomi global, yang akan menyebabkan kos menjalankan perniagaan lebih tinggi bagi perniagaan di AS dan berpotensi membawa kepada penyusunan semula rantaian bekalan global yang seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Ringgit turut diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama. 

Ia menurun berbanding pound kepada 5.3727/3775 daripada 5.3165/3225, berkurangan berbanding euro kepada 4.6400/6440 daripada 4.6127/6180 dan menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.5005/5027 daripada 2.4874/4904 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding mata wang serantau.

Ringgit menurun berbanding dolar Singapura kepada 3.1164/1193 daripada 3.1010/1048 dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.1825/1988 daripada 12.1732/1926 sebelum ini. 

Mata wang tempatan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 222.3/222.7 daripada 221.6/221.9 dan menurun berbanding peso Filipina kepada 6.47/6.48 daripada 6.43/6.44 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan