Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Dagangan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengalami turun naik minggu depan susulan cuti yang panjang, kata peniaga.
Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies, Jim Teh berkata aktiviti dagangan tidak menentu minggu depan memandangkan kebanyakan peniaga antarabangsa tidak akan memasuki pasaran kerana cuti yang panjang.
Beliau berkata pasaran mungkin mencatatkan dagangan dalam lingkungan RM4,200 hingga RM4,250 satu tan.
“Sentimen pasaran minggu depan juga akan disokong oleh siasatan pihak berkuasa Indonesia terhadap beberapa pengeksport berhubung dakwaan sengaja mengisytiharkan nilai yang lebih rendah pada invois rasmi berbanding harga atau nilai sebenar yang telah dipersetujui atau dibayar,” katanya kepada Bernama.
Menurut laporan media, kerajaan Indonesia sedang menyiasat 20 syarikat, dengan tumpuan diberikan kepada 10 syarikat utama, yang semuanya beroperasi dalam industri MSM.
Jim berkata kedudukan stok minyak sawit Malaysia kekal tinggi pada 2.4 juta tan, manakala permintaan fizikal adalah dijangka dari China, India, Pakistan, kalangan negara Timur Tengah, negara anggota Kesatuan Eropah, serta Amerika Syarikat.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, Jun 2026 dan Julai 2026 masing-masing meningkat RM40 kepada RM4,470 dan RM4,503 satu tan, manakala Ogos 2026 menokok RM49 kepada RM4,535 satu tan.
September 2026 naik RM59 kepada RM4,561 satu tan, Oktober 2026 menambah RM65 kepada RM4,590 satu tan, dan November 2026 meningkat RM68 kepada RM4,620 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 257,062 lot daripada 614,453 lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 285,715 kontrak daripada 280,499 kontrak.
Harga fizikal MSM bagi Jun Selatan berada pada RM4,490 satu tan.
Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin, 1 Jun, dan Selasa, 2 Jun, susulan cuti umum bersempena dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan cuti gantian bagi Hari Wesak.
Dagangan akan disambung semula pada Rabu, 3 Jun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial